SERDANG – Lebih 460,000 murid tahun satu masih berpeluang menikmati Insentif Khas Geran Sepadan sebanyak RM50 menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i atau SSPN-i Plus) yang akan berakhir pada akhir Disember ini.
Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid berkata sehingga 31 Ogos lalu, hanya 31,757 daripada kira-kira 500,000 murid tahun satu memanfaatkan pemberian insentif khas tersebut.
“Menerusi Bajet 2017, kerajaan memperuntukkan RM25 juta melalui insentif khas tersebut iaitu ibu bapa hanya perlu membuka akaun atau membuat simpanan sekurang-kurangnya RM50 dalam akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus bagi melayakkan anak mereka menerima insentif ini.
“Insentif ini merupakan galakan untuk ibu bapa membuat tabungan pendidikan untuk anak-anak. Justeru kami di pihak PTPTN menyeru mereka untuk menggunakan peluang yang ada, kerana skim ini bukanlah simpanan semata-mata tetapi banyak manfaat yang bakal diperoleh seperti perlindungan takaful hingga RM1 juta, pemberian dividen yang kompetitif dan pelepasan taksiran cukai sehingga RM12,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bulanan 20 Tahun PTPTN bagi bulan Ogos di sini hari ini.
Pada majlis itu, perunding teknikal Chin Choon Keat menerima hadiah simpanan berjumlah RM10,000 apabila diumum sebagai pemenang cabutan bulanan 20 tahun PTPTN bagi bulan Ogos.
Chin, 34 berkata beliau yang mula membuka akaun SSPN-i sejak 2012 tidak menyangka akan menerima hadiah cabutan tersebut.
“Saya rasa sangat bertuah… simpanan ini bukan hanya bagus untuk masa depan anak, tetapi saya juga turut menerima pelepasan cukai dan hari ini pula saya menerima hadiah cabutan bertuah ini,” katanya.
Chin merupakan pendeposit akaun SSPN-i untuk anaknya Chin Zheng Khai, pelajar tahun satu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Serdang, Seri Kembangan. – BERNAMA