KUALA LUMPUR – Pasaran dalam talian terbesar di Malaysia, mudah.my, akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengalaman pengguna bagi rakyat Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gaurav Bhasin.
“Kami mempunyai lebih setengah juta orang yang menggunakan mudah.my setiap bulan, dengan kira-kira 1.6 juta orang menjual produk mereka melalui laman web kami.
“Matlamat kami ialah untuk menarik setiap rakyat Malaysia membeli dan menjual (di mudah.my) dan inilah yang kami teruskan fokus sekarang ini,” katanya semasa program bual bicara Nine11 yang disiarkan secara langsung di Bernama News Channel hari ini.
Gaurav juga yakin pasukannya yang terdiri daripada 125 kakitangan telah memainkan peranan penting dalam mendorong rakyat Malaysia mencari nilai barang-barang yang tidak digunakan dan terpakai tetapi masih dalam keadaan baik di rumah mereka dan juga menyediakan platform untuk banyak usahawan, serta perusahaan kecil sederhana, untuk memasarkan barang dan perkhidmatan mereka.
Beliau berkata perkara yang membezakan mudah.my daripada pasaran dalam talian lain ialah syarikat, orang dan budaya.
“Perbezaan antara mudah.my dan platform lain adalah bagaimana kami bekerja di belakang tabir untuk memudahkan urusan. Kami menjalankan tugas dan menggunakan teknologi untuk menjadikan perkara-perkara yang rumit menjadi mudah untuk pengguna kami.
“Saya percaya jika kami boleh mendapatkan nenek berusia 70 tahun menjual di mudah.my, maka kami telah mencapai tahap di mana semua orang boleh mengambil bahagian dalam e-dagang dan dunia digital pada umumnya,” katanya.
Gaurav yakin dalam tempoh lima tahun, mudah.my akan berkembang dan pada kedudukan yang berbeza di Malaysia.
“Kami sentiasa berusaha untuk memudahkan transaksi dengan melabur dalam teknologi dan data untuk memastikan pengalaman lebih mudah bagi pengguna kami,” katanya.
mudah.my, yang dilancarkan pada 2007, kini mempunyai 58 kategori produk dan perkhidmatan dari kenderaan, barangan elektronik, pekerjaan hinggalah ke hartanah. – BERNAMA