PUTRAJAYA — Kerajaan akan memastikan sumber tenaga elektrik di negara ini pada nisbah bersesuaian antara bahan api fosil dan tenaga boleh diperbaharui demi memastikan rakyat menikmati kadar tarif yang rendah.
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Zaini Ujang berkata berbanding negara lain, Malaysia mempunyai beberapa sumber tenaga seperti arang batu, gas asli, tenaga hidro dan solar.
“Bagi mendapatkan tarif lebih rendah berbanding negara-negara jiran, kita mempunyai beberapa sumber tenaga seperti arang batu bagi menampung harganya. Negara lain sebaliknya tidak berbuat demikian dan akibatnya mereka membayar mungkin berlipat ganda lagi berbanding kita,” katanya pada sidang media TNB Manjung 5 di sini, hari ini.
Pada masa ini, arang batu merupakan bahan api utama atau 52 peratus bagi sumber penjanaan tenaga di Semenanjung.
Sementara itu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dalam ucapannya berkata kerajaan menyasarkan untuk mencapaipenjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 50 peratus menjelang 2050 berbanding sekitar 22 peratus pada masa kini.
Mengulas projek TNB Manjung 5, beliau berkata loji arang batu terbaharu itu telah mula beroperasi pada 1 Oktober lepas iaitu tiga hari lebih awal daripada jadual.
“Ini sesuatu yang membanggakan kerana projek ini dilaksanakan berdasarkan terma ‘fast track,’ yang mana perlu disiapkan dan dimulatugas dalam tempoh 45 bulan berbanding 48 bulan,” katanya.
Ongkili berkata, ia merupakan projek infra rakyat berbentuk penjanaan tenaga bagi memastikan bekalan elektrik stabil dan mencukupi dalam membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara jangka panjang dengan menggunakan teknologi terkini iaitu teknologi ultrasupercritical (USC).
USC dianggap piawaian tertinggi dalam aspek kecekapan yang membolehkan penjanaan lebih banyak tenaga tanpa menjejaskan piawaian pelepasan asap yang ketat selain membolehkan loji menggunakan arang batu pada kadar rendah bagi pembakaran, sekali gus menurunkan pelepasan asap, katanya.
“Projek berkenaan selari dengan objektif kerajaan untuk memastikan permintaan dan keperluan tenaga elektrik yang semakin meningkat sentiasa dipenuhi, di samping mengekalkan margin simpanan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia pada kadar 25 peratus,” katanya. – BERNAMA