KUALA LUMPUR – Pemahaman dunia mengenai instrumen kewangan patuh syariah adalah masih rendah, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Amanie Advisors LLC Dubai, Maya Marissa Malek.
Beliau berkata, usaha untuk mendidik orang ramai mengenai kewangan Islam perlu dilaksanakan supaya salah faham dan salah maklumat mengenai mekanismenya dapat dielakkan.
“Jika kita menjadikannya (kewangan Islam) terlalu sukar untuk mereka (orang ramai) memahami, ini akan menghakis minat mereka (terhadap instrumen kewangan Islam),” katanya kepada Bernama di luar Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-14 di sini, hari ini.
Beliau berkata, terdapat perbezaan antara pelabur syariah dan konvensional, memandangkan pelaburkonvensional menyasarkan keberuntungan atau pulangan kompetitif, manakala pelabur syariah akanmemastikan aset asasnya adalah patuh syariah.
Maya Marissa berkata, pengurus dana dan aset perlu terlebih dahulu menggariskan persamaan antarainstrumen syariah dan konvensional, contohnya, aspek risiko dan penetapan harga.
“Pengurus dana dan aset juga perlu melihat kepada jenis pelaburan industri yang berbeza, memandangkan mereka yang akan menjelaskan merit tersebut kepada para pelabur.
“Mereka yang mempunyai rekod prestasi yang baik juga perlu memperkenalkan produk pelaburan patuh syariah kepada pelabur konvensional, sekali gus mewujudkan asas pelabur yang lebih luas,” katanya.
Selain menjadikan modul kewangan Islam lebih mudah untuk difahami orang ramai, Maya Marissa juga berkata, perkara seperti dokumentasi undang-undang juga perlu dipermudahkan.
“Instrumen pelaburan Islam perlu distruktur semula, agar menjadikannya lebih mudah untuk disertaipelabur konvensional dan asing,” katanya. – BERNAMA