KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata beliau telah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan keperluan pertahanan negara sempena pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober.
Beliau berkata pada pertemuan semalam, yang turut disertai Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor, beliau memberi penjelasan kepada Najib yang juga Menteri Kewangan berhubung keperluan kementerian itu bagi menjamin keselamatan dan pertahanan negara.
Jumlah peruntukan pertahanan untuk tahun hadapan tidaklah keterlaluan dan telah pun dibentangkan kepada menteri kewangan, katanya kepada pemberita selepas majlis Nadwah Ilmiah Pegawai-pegawai Kanan (NAIM) 2017 dan Pelancaran Indeks Syariah Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Hishammuddin juga berkata ATM akan terus bekerjasama rapat dengan pihak keselamatan Indonesia dan Filipina dalam mengawal sempadan darat dan laut negara agar tidak mudah dicerobohi sebarang pergerakan militan khasnya Daesh.
“Inilah cabaran ATM menjaga sempadan dalam dunia tanpa sempadan hari ini dan untuk mengawalnya bukanlah satu perkara yang mudah,” katanya. – BERNAMA
