HANOI – Buat julung kalinya, Hari Kopi Vietnam akan diadakan di dataran tinggi pusat bandar Da Lat yang terletak dalam wilayah Lam Dong dari 9 hingga 11 Dis, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa perbandaran pada Isnin.
Acara tiga hari itu termasuk majlis perasmian, satu ruang sekitar Taman Xuan Huong yang mempamerkan pelbagai produk kopi, satu seminar antarabangsa berkaitan perkembangan baharu industri kopi Vietnam serta lawatan pencarian fakta mengenai pengeluaran kopi dan model pemprosesan menggunakan teknologi tinggi di Lam Dong.
Vietnam telah memutuskan untuk memilih tarikh 10 Dis sebagai Hari Kopi Vietnam.
Wilayah dataran tinggi pusat Vietnam memiliki lebih 450,000 hektar pokok kopi, yang menyumbang kepada lebih 90 peratus daripada jumlah keseluruhan di negara itu.
Vietnam mengeksport lebih 1.1 juta tan kopi bernilai lebih US$2.5 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, merosot 20.5 peratus dari segi jumlah namun meningkat sebanyak 1.3 peratus dari segi nilai berbanding tempoh sama pada tahun lepas, menurut Kementerian Pertanian negara itu. – BERNAMA