Friday, December 6, 2024

Creating liberating content

Microlink Lancar Aplikasi IOT...

KUALA LUMPUR - Penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan, Microlink Solutions...

Banjir: 3 Daerah Di...

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu sehingga malam ini mulai menunjukkan trend...

Wan Saiful Cuba Perkecil...

ALAHAI... Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini ibarat melukut di tepi gantang sejak Tun...

Operasi SAR Di Sungai...

KUALA LUMPUR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa hilang dikhuatiri...

Gua Pelangi Semarak Lagi Sejarah Negeri Sembilan

KUALA KLAWANG – Sebut sahaja Gua Niah, Sarawak, dan Gua Bewah, Terengganu sudah pasti ramai yang sudah mengenali khazanah negara itu berbanding Gua Pelangi yang terletak di Negeri Sembilan.

Gua yang terletak di Felda Pasoh 4, Simpang Pertama, daerah Jelebu ini dipercayai gua pertama ditemui di selatan Semenanjung Malaysia dan kira-kira dua tahun lepas pasukan arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang membuat tinjauan dan kerja penyelidikan di tapak gua berkenaan.

Luas kawasan Gua Pelangi ini ialah kira-kira 16 hektar dan ia terletak sekitar 135 meter dari paras laut.

Gua ini hanya boleh diakses melalui jalan darat. Jauh jaraknya dari bandar Seremban ialah kira-kira 67 kilometer melalui Jalan Pantai-Kuala Klawang.

GUA BATU KAPUR

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, pihaknya menghantar para arkeologi ke tapak Gua Pelangi selepas mendapat makluman tentang gua berkenaan sekitar dua tahun lalu.

Sebelum penemuan gua itu, pihak beliau sememangnya tertanya-tanya di manakah destinasi terakhir masyarakat zaman berkenaan selepas menemui gua di timur Semenanjung.

“Kita tertanya-tanya ke mana masyarakat zaman itu pergi kerana kita tidak temui jejak mereka sehinggalah saya mendapat panggilan yang memberitahu bahawa terdapat sebuah gua di Felda Pasoh.

“Selepas meninjau dan memeriksa gua itu dan benarlah ia sebuah gua kapur memandangkan cirinya yang sama dengan gua kapur yang lain.

Pemeriksaan kami menjumpai batu atau alatan yang digunakan masyarakat zaman itu sebagai kapak dan cengkerang siput yang sama seperti yang dijumpai di gua yang lain sebelum ini,” katanya kepada Bernama pada program Bicara@Muzium di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata penemuan itu menjadikan gua di Felda Pasoh 4 itu yang kemudiannya dinamakan Gua Pelangi dipercayai selepas kemunculan pelangi di dalam gua berkenaan, sebagai gua pertama ditemui di selatan semenanjung.

ARTIFAK DI GUA PELANGI

Jika di Gua Bewah mempunyai bukti prasejarah kewujudan rangka manusia dari zaman Mesolitik yang disahkan berusia 16,000 tahun dan gua Gunung Runtuh, Perak mempunyai ‘Perak Man’, rangka yang dikatakan berusia lebih 10,000 tahun itu dan ditemui pada tahun 1990, Gua Pelangi pula mempunyai bukti kehidupan masyarakat primitif dipercayai dari zaman Paleolitik.

Mokhtar berkata penyelidikan para arkeologi USM sejak dua tahun lepas mendapati terdapat banyak artifak peninggalan masyarakat terdahulu.

“Alat batu dan siput sedut sungai adalah bukti yang sangat tipikal sebagai artifak yang sempurna untuk menunjukkan ada kehidupan di gua berkenaan sekitar 14,000 tahun yang lalu dan dengan itu saya yakin terdapat kehidupan prasejarah dalam gua itu,” katanya.

Selain itu katanya, turut ditemui ialah serpihan tulang haiwan seperti monyet, khinzir, rusa, kijang, kura-kura, dan tenggiling.

KERJA-KERJA PENGGALIAN


Menurut Mokhtar kerja-kerja penyelidikan masih diteruskan lagi kerana banyak lagi kawasan yang telah ditanda masih tidak di gali.

“Kita percaya banyak lagi artifak yang belum ditemui di dalam gua ini. Sekarang hanya 13 petak sahaja yang baru digali. Penggalian untuk fasa satu dan fasa dua sudah selesai dijalankan manakala fasa tiga masih menunggu dana,” katanya.

Beliau berkata artifak yang ditemui kini disimpan di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM.

Kepada satu soalan bagaimana tarikh sesebuah artifak ditentukan, Mokhtar berkata ia ditentukan oleh ciri artifak berkenaan selain dihantar ke Makmal Beta Radiokarbon, Florida, Amerika Syarikat untuk menjalani kaedah radiocarbon di mana pentarikhan artifak boleh dikenalpasti.

DIBANGUNKAN SEBAGAI PUSAT ARKEOLOGI

Sementara itu, Pemangku Pengarah Muzium Negeri Sembilan, Aziz Mohd Gorip berkata pihaknya berpandangan Gua Pelangi mempunyai potensi yang besar untuk penemuan artifak yang lebih bermakna dan memberi dimensi baru bagi sejarah Negeri Sembilan.

Beliau berkata bagi menjaga warisan sejarah itu, kawasan itu bagaimana pun dikawal namun pengunjung masih boleh melawat ke dalam gua berkenaan tetapi dengan diiringi pegawai.

Mokhtar pula berkata dapatan di Gua Pelangi memang sangat penting untuk pembangunan Negeri Sembilan khasnya daerah Jelebu.

“Gua Pelangi layak dibangunkan menjadi tapak warisan kerana kita tidak mahu penyelidikan semata-mata, malah layak juga dibangunkan sebagai produk arkeopelancongan,” katanya.

GUA PELANGI GALERI HIDUP

Mokhtar turut mencadangkan supaya diwujudkan galeri hidup iaitu lakonan semula oleh petugas muzium bagi menceritakan kehidupan masyarakat yang mendiami gua tersebut pada zaman itu.

“Tentu pengunjung akan lebih mudah memahami bagaimana manusia zaman itu menjalani kehidupan mereka hanya dengan menggunakan alatan semulajadi seperti batu yang kemudiannya dijadikan kapak, pisau dan bahan untuk menghasilkan api.

“Ini akan menarik minat mereka sekaligus dalam mempromosikan kawasan ini sebagai kawasan pelancongan yang boleh juga membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya. – BERNAMA

Kategori