SYUKUR… Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) menyambut baik penarikan balik gelaran ‘Freedom of Oxford‘ yang diberikan kepada Aung San Suu Kyi oleh Majlis Bandar Raya Oxford di Britain.
Presiden organisasi antarabangsa berpusat di Melaka itu, Tan Sri Mohd. Ali Mohd. Rustam berkata, penarikan balik anugerah kehormat yang diberikan kepada pemimpin de facto Myanmar pada 1997 lalu adalah amat bertepatan.
“DMDI menyambut baik tindakan yang dilakukan oleh pihak majlis tempatan Oxford ini kerana setelah sekian lama kami mendesak ditarik balik kesemua anugerah dan penghormatan yang pernah diberikan kepada Suu Kyi.
“Malah DMDI bersama-sama lebih 20 sekretariat antarabangsa menggesa supaya pertubuhan dunia seperti ASEAN, Komanwel, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut berbuat demikian.
“Ia ekoran tindakan Suu Kyi yang memilih untuk terus berdiam diri dan sememangnya tidak mencerminkan beliau sebagai seorang pemimpin de facto kerajaan Myanmar yang pernah menerima anugerah Nobel Keamanan.
“Sesungguhnya kezaliman kerajaan Myanmar terhadap kaum Rohingya menerusi siri pembunuhan dan pembakaran minoriti Islam tidak berdosa ini merupakan satu contoh terbaik agenda penghapusan ethnik,” kata Mohd. Ali.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media sebagai mengulas berita perlucutan gelaran ‘Freedom of Oxford’ yang diterima oleh Suu Kyi ketika ikon demokarasi itu berada dalam tahanan politik rejim junta Myanmar.
Tambah Mohd Ali, DMDI mengutuk dengan sekeras-kerasnya kekekjaman pemerintah Naypyidaw terhadap umat Islam di Myanmar terutama terhadap kaum minoriti Rohingya yang berterusan sejak sekian lama sehingga kini.
Semalam, Datuk Bandar Oxford, Bob Price mengatakan Suu Kyi ‘tidak bersuara secukupnya’ mengenai penindasan terkini ke atas Rohingya mengakibatkan krisis kemanusiaan apabila lebih 500,000 pelarian etnik itu ke Bangladesh.
Sebelum itu, kolej St. Hugh di Universiti Oxford juga di bandar berkenaan minggu lalu turut bertindak menurunkan potret Suu Kyi yang digantung berhampiran pintu masuk institusi pengajian tinggi berprestij tersebut sejak 1999.
Gambar Suu Kyi yang merupakan bekas pelajar St. Hugh kini dimiliki oleh Michael Aris yang secara kebetulan juga ialah graduan universiti sama. Kolej itu namun tidak memberikan alasan kenapa potret Suu Kyi diturunkan.
Terbaharu, pewaris takhta Britain, Putera Charles dan isteri Camilla pun membatalkan kunjungan ke Myanmar dalam lawatan rasmi diraja ke Malaysia, Singapura dan India akhir bulan ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

