KUALA TERENGGANU – Pencerobohan dilakukan bot nelayan asing dari Vietnam di perairan Malaysia yang semakin kerap sejak akhir-akhir ini adalah disebabkan kepupusan ikan di perairan negara mereka.
Pengarah Daerah Maritim 9 Negeri Terengganu (DM9), Kapten Maritim Rahim Ramli berkata pengakuan nelayan asing Vietnam itu direkodkan hasil siasatan yang dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terhadap mereka.
Beliau berkata kebanyakan bot nelayan Vietnam itu pada asalnya menangkap ikan di perairan negara mereka namun terpaksa menceroboh perairan Malaysia apabila teknologi sonar mereka menunjukkan lebih banyak ikan di perairan negara ini.
“Penguatkuasaan yang dilakukan dalam mengawal sistem penangkapan ikan di Malaysia berjaya memastikan laut negara kita sentiasa kaya dengan haiwan marin ini. Kategori bot A, B, C dan D mengikut jarak tangkapan yang berbeza berjaya memastikan ikan di negara kita tidak pupus.
“Namun, pencerobohan nelayan asing ini akan memberi kesan negatif kerana mereka menggunakan kaedah menangkap ikan secara tunda ganding yang dikhuatiri bukan sahaja menjejaskan pendapatan nelayan tempatan tetapi juga dipercayai boleh menjadi punca kerosakan terumbu karang kerana jauh memasuki kawasan yang tidak dibenarkan untuk laut dalam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media mengenai kejayaan APMM menahan dua bot Vietnam yang melakukan aktiviti tunda ganding 100 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada awal pagi semalam.
“Bot pertama ditahan pada 6.20 pagi manakala bot kedua ditahan pada 7.15 pagi. Seramai 18 awak-awak dalam lingkungan usia 19 hingga 60 tahun turut ditahan dan kebanyakan mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot tersebut tidak mempunyai sebarang lesen serta permit yang sah untuk menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata hasil tangkapan dianggarkan lima tan ikan baja, 100 kilogram ikan pelbagai jenis dan anggaran 22,000 liter minyak diesel. Nilai rampasan ialah sebanyak RM3 juta termasuk bot dan peralatan menangkap ikan mereka.
Kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Ditanya modus operandi nelayan Vietnam ini, beliau berkata mereka dipercayai berada di laut antara dua hingga empat bulan dan segala transaksi dilakukan di tengah laut.
“Kami percaya mereka ada kapal induk yang datang mengambil hasil laut untuk dihantar ke Thailand atau negara asal mereka. Sebab itu mereka sanggup berada di tengah laut berbulan-bulan lamanya.
“Mereka sanggup memperjudikan nasib di perairan negara kita kerana hasil tangkapan yang sangat menguntungkan mereka berbanding hanya menangkap ikan di perairan Vietnam,” katanya.
APMM akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.
“Justeru, pihak Maritim Malaysia berharap agar masyarakat umum lebih-lebih lagi komuniti laut dapat bekerjasama dengan menyalurkan maklumat dalam menangani isu jenayah maritim serta keselamatan di laut.
“Jika berlaku sebarang kejadian, mereka boleh menghubungi kami di talian MERS 999 atau 09-6224357 Pusat Operasi (PUSOP) DM9 Negeri Terengganu,” katanya. – BERNAMA