KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini menerima kemasukan Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA) sebagai anggota gabungan sepenuhnya selepas sembilan tahun persatuan berkenaan bergerak sebagai anggota bersekutu.
Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat anggota majlis yang diadakan 30 Sept lepas, setelah mendapat persetujuan daripada semua pihak terlibat.
“Saya memberi penjelasan terperinci kepada anggota majlis bahawa sepanjang menjadi presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur dan BAM, komitmen ditunjukkan PjBA sangat tinggi dengan melaksanakan banyak program dan melahirkan pemain remaja yang mereka latih setiap hari.
“PjBA juga berjaya melaksanakan pelbagai program bertaraf domestik dan antarabangsa. Sebab itulah, semua ahli majlis yakin kebolehan dan kewibawaan ditunjukkan PjBA dan mereka diberi kelayakan tersebut, dan hari ini mereka mendapat surat pengiktirafan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan anggota gabungan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini.
Mohamad Norza berkata dengan pengiktirafan itu, PjBA selaku anggota gabungan ke-15 mendapat akses dan faedah sepertimana anggota gabungan BAM yang lain, dan turut mendapat bantuan geran tahunan bagi tujuan pembangunan badminton di peringkat akar umbi.
Katanya, sepertimana 14 persatuan negeri yang menjadi anggota gabungan BAM, PjBA akan menerima peruntukan antara RM200,000 dan RM300,000 setahun, melibatkan geran jurulatih, pentadbiran dan pelaksanaan program akar umbi serta program BAM yang lain.
“Ini juga merupakan langkah untuk melebarkan pencarian bakat serta meramaikan lagi pemain termasuk di peringkat remaja, pelapis dan senior.
“Kita harap dengan bantuan geran ini, PjBA dapat melonjakkan aktiviti melatih pemain remaja dan melipatgandakan usaha kerana mereka tidak perlu lagi memikirkan cara untuk mendapatkan sumber kewangan,” katanya.
Untuk rekod, sejak 2008, PjBA telah melatih lebih 400 pemain, dengan purata 40 hingga 50 pelatih setahun dan dikendalikan oleh empat jurulatih sambilan.
PjBA telah berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada Jun 2009, dan menjadi anggota bersekutu BAM sejak Januari 2010.
Sementara itu, Presiden PjBA Datuk Seri Khairudin Samad berkata dengan pengiktirafan sebagai anggota gabungan BAM itu, PjBA boleh menarik nafas lega kerana kedudukan mereka sudah terjamin dari segi sumber kewangan.
Beliau berkata pihaknya juga sedang merangka pelan untuk membina sebuah stadium badminton tertutup bagi kemudahan latihan serta penganjuran kejohanan bertaraf domestik dan antarabangsa.
“Kita memang bergelut untuk menganjurkan sesuatu kejohanan sebelum ini. Pada saya badminton adalah sukan yang cukup mahal kerana satu tabung bulu tangkis cukup buat kami menderita.
“Namun, selepas ini, kami berjanji akan memajukan lagi sukan badminton sebab tidak perlu lagi memikirkan dana dan bersusah payah seperti dahulu. Kita akan memberikan sumbangan bermakna terhadap sukan badminton di negara ini,” katanya.
Sejak penubuhan, PjBA berjaya menganjurkan Kejohanan Piala Presiden PjBA pada Ogos 2017, dan seterusnya penganjuran Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM Peringkat Putrajaya yang dijadual pada 8 dan 9 Nov depan.
Sejak 2013, PjBA turut menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk Kejohanan GP Akhir 2013, Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan (2015, 2016 dan 2017) serta Kejohanan Siri Antarabangsa Celcom Axiata Malaysia.
PjBA juga aktif dalam penyertaan pada kejohanan anjuran BAM serta kejohanan lain di dalam dan luar negara, termasuk Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan (Pusingan 1 dan 2) , Kejohanan Berpasukan antara Negeri, Kejohanan Terbuka Negeri Pusingan 1 dan 2, Kejohanan GP Akhir Remaja Kebangsaan dan Kejohanan GP Akhir Kebangsaan. – BERNAMA