AWAL Ogos lalu, ketika negara bersiap sedia meraikan Sukan SEA Ke-29, dunia korporat tempatan pula gempar dengan berita tawaran Maju Holdings Berhad untuk ‘membeli’ PLUS Malaysia Berhad.
Sekali pandang, memang tiada apa yang pelik sama seperti berita syarikat A mahu ambil alih syarikat B, namun ia jadi sensasi apabila pihak berhasrat beli itu pernah ada masalah dan kini cuba ‘menawan’ syarikat lebih kukuh!
Lebih lucu, berbanding berita Proton Holdings Berhad dengan Zhejiang Geely Holdings Group dari China kurang dipertikai penganalisis ekonomi tanah air, berita melibatkan Maju pula jauh beza reaksinya malah agak negatif.
Ini bukan kali pertama PLUS cuba ‘dibeli’ kerana jutawan ternama, Tan Sri Halim Saad pun pernah mahu kuasai firma operator lebuh raya utama negara dan kelapan terbesar dunia itu pada 2014 namun tegas ditolak kerajaan.
Untuk rekod, PLUS yang diasaskan pada 1986 kini dimiliki 51 peratus pegangannya oleh UEM Group, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd. dan baki 49 peratus pula oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak 2011.
Ini bermakna menjual PLUS kepada pihak luar ibarat ‘gadai’ kepentingan rakyat, dan amat berlainan dengan kes Proton-Geely kerana ia memang berstatus syarikat milik swasta sepenuhnya yang beroperasi atas dasar komersial.
Justeru apabila Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju, Tan Sri Abu Sahid Mohamad hantar surat hasrat membeli PLUS, ia bukan sahaja aneh, bahkan dibantah keras ramai ahli Parlimen yang meragui imej syarikat itu sendiri.
Memang tawaran bernilai RM36 bilion untuk proses ambil alih itu amat menarik konon bakal memberi pampasan RM900 juta kepada kerajaan selain jaminan tiada naik tol hingga tahun 2038, tetapi ia bukan cerita sebenarnya.
Bagi yang ‘masak’ dengan dunia korporat, nama Abu Sahid cukup sinonim cerita kegagalan Perwaja, pengeluar besi keluli pernah gah tetapi kemudian menanggung hutang mega kepada Petronas, Tenaga Nasional dan kerajaan.
Terbaharu pada Mei lalu, Perwaja dinyah senarai Bursa Malaysia selepas dianggap sebagai syarikat bermasalah sejak 2013 lagi setelah gagal dapat suntikan modal RM1.8 bilion daripada Tianjin Zhiyuan di China pada tahun lepas.
Bukan itu sahaja, projek Lebuhraya MEX diusahakan Maju dengan 74 peratus kosnya dibiayai kerajaan (dibaca: duit rakyat pembayar cukai) turut dikritik banyak pihak termasuk negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.
Baca: Ahli Parlimen Turut Bantah Cadangan Ambil Alih PLUS
Lagi: 14.5 Juta Pencarum KWSP Mungkin Rugi Jika Jual PLUS
Juga: PLUS Terus Kekal Hak Milik Kerajaan – Ahli Parlimen
Maka apabila timbul cerita Abu Sahid mahu ‘beli’ PLUS, ia bukan sahaja menjadi ‘bahan jenaka’ penganalisis kewangan, bahkan ramai netizen termasuk yang berlatar belakang ekonomi dan bukan calang-calang individu.
Bayangkanlah topik ini tiba-tiba jadi bahan perbualan gosip panas netizen menerusi media sosial dan rata-rata mempersoalkan kemampuan Maju, sementelahan projek diusahakan jutawan itu sebelum ini pun bermasalah.
Paling dibimbangkan ialah jaminan konon tiada tol naik, walhal Lebuhraya MEX yang baru dibuka sejak 2007 pun menyaksikan peningkatan kadar caj pada 2015 lalu berbanding PLUS yang tidak berbuat demikian sejak 2009!
Umum maklum, isu kenaikan bayaran tol amat sensitif, malah ada beberapa syarikat konsesi lebuh raya hampir muflis gara-gara terpaksa ‘beku’ kadar baharu setelah ditolak oleh kerajaan sehingga terpaksa pula diselamatkan.
Oleh itu, kewibawaan Abu Sahid dalam bab pengambilalihan PLUS dipandang pelik jika melihat kepada trek rekod beliau ketika mengurus Perwaja dan kini Maju sendiri selain ada mempersoalkan risiko tinggi pelaburan lebuh raya.
PLUS ketika ini bukan setakat mengendalikan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2) dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).
Malah laluan lain iaitu Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) di Negeri Sembilan, Lintasan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) di Johor, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (PBSB) di Utara.
Dengan kos operasi dan selenggara yang 51 peratus lebih tinggi berbanding Lebuhraya MEX, PLUS mampu bayar dividen tinggi sepanjang dua tahun lalu berturut-turut, suatu pencapaian amat luar biasa sewaktu ekonomi suram.
Hakikatnya, ketika kerajaan masih diam diri mengulas tawaran Maju, masyarakat pula lihat usaha pembelian PLUS oleh Abu Sahid sebagai bukan sahaja tidak mengambil kira aspirasi rakyat, bahkan tidak peka kepentingan nasional.
Mereka jelas tidak mahu sejarah buruk Perwaja kembali menjahanamkan PLUS ditambah pula imej Abu Sahid yang pernah dilabel sebagai ‘kroni’ Mahathir dan bukan tokoh perniagaan hebat dalam bisnes apatah lagi berskala besar.
Ringkas cerita, adalah lebih baik PLUS kekal status-quo daripada berpindah hak milik kepada pihak luar yang diragui kemampuannya buat masa ini demi membela nasib pengguna secara keseluruhan. – Mynewshub.cc/HAA