SINTOK – Sejumlah 59,000 mahasiswa di seluruh negara kini telah mendaftarkan diri mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menjadi usahawan sejak Januari tahun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM10 juta kepada mahasiswa bagi membolehkan mereka mendaftar dengan SSM secara percuma.
“Kementerian akan bantu para mahasiswa ini untuk berjaya sebagai usahawan dalam usaha memasarkan produk mereka bukan sahaja untuk dalam negara tetapi sehingga ke pasaran luar negara.
Sebab itu sebagai galakan, semua mahasiswa yang ingin mendaftar dengan SSM untuk menjadi usahawan ini, mereka tidak dikenakan sebarang bayaran melalui dana yang disediakan ini,” katanya selepas merasmikan Varsity Mall di Universiti Utara Malaysia di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UUM Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.
Hamzah berkata namun begitu mahasiswa ini diingatkan agar memastikan produk yang ingin mereka pasarkan itu mempunyai kualitinya termasuk aspek pembungkusan.
“Tetapi jika belum mencapai tahap tersebut, kementerian akan juga membantu agar usahawan mahasiswa ini boleh berjaya dan selepas itu baharulah kita usahakan produk yang dihasilkan itu boleh mendapat tempat di pasaran,” katanya.
Katanya bagi peringkat pasaran tempatan, kementeriannya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menempatkan produk mereka di pasar raya-pasar raya terkenal.
Sebelum ini SSM berhasrat menyasarkan lebih 100,000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara merebut peluang pendaftaran perniagaan secara percuma melalui skim 1 Pelajar 1 Perniagaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Salleh dilaporkan berkata pada Februari lepas, skim yang dilancarkan SSM sejak 1 Jan itu di bawah peruntukan geran sebanyak RM10 juta oleh kerajaan adalah khusus bagi pelajar yang kali pertama mahu memulakan perniagaan.
Sementara itu Hamzah gembira dengan langkah UUM yang dapat memperkenalkan Varsity Mall itu di dalam kampus induknya di sini bagi membolehkan pelajar universiti tersebut menjadi usahawan.
“Kalau ini dapat diketengahkan di universiti seluruh negara ia sebenarnya akan dapat melahirkan usahawan dalam konteks pembangunan ekonomi negara akhirnya,” katanya.
Gedung perniagaan di Varsity Mall itu mempunyai 85 lot yang mana daripada jumlah itu sebanyak 20 lot perniagaan serta tiga kios dikhaskan untuk penuntut UUM, 62 lot disewakan selain terdapat dua pejabat pengurusan.
Antara jenis perniagaan dan perkhidmatan yang disediakan ialah pasar raya koperasi UUM, kedai makanan, kosmetik, peralatan sukan dan telekomunikasi, aksesori komputer, bank dan pejabat pos. – BERNAMA