SHAH ALAM – Nasib malang dua bekas pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang akhirnya terbela apabila diberi rumah baharu setelah rumah lama mereka dirobohkan zalim oleh kerajaan negeri.
Lebih unik, kediaman baharu itu disumbangkan sendiri oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan bayaran sewa amat rendah.
Mangsa kekejaman kerajaan Selangor itu kehilangan rumah yang diduduki lebih 20 tahun apabila dirobohkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Daerah Petaling minggu lalu sehingga video rakaman insiden itu tular di media sosial.
Abd. Razak Said, 50, dan Yaakob Abdul, 63, kini tersenyum setelah menerima kunci rumah baharu masing-masing daripada menteri bertanggungjawab, Tan Sri Noh Omar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2.
“Rumah ini kita beri sewa untuk dibeli. Sewa RM255 dan RM50 untuk kos penyelenggaraan, dan bakinya dikira sebagai ansuran. Kita bagi tempoh dua tahun, kalau bayaran pun cantik, rumah pun tak disewa kepada orang lain.
“Selepas itu kita akan tukarkan status rumah ini untuk dijual kepada penghuninya sendiri,” kata Noh. Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas majlis penyerahan rasmi kunci rumah kepada dua bekas pegawai masjid itu.
Turut hadir pada majlis secara ringkas tersebut dekat sini hari ini ialah ADUN Barisan Nasional (BN) Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, K.N Jayaselan.
Lebih menggembirakan lagi, mereka bukan hanya menerima seunit rumah PPR yang berharga kira-kira RM125,000, malahan turut diberikan setiap seorang seunit lot kedai di tingkat bawah perumahan awam itu untuk berniaga.
Baca: “Tergamak Roboh Rumah Bekas Pegawai Masjid”
Juga: Isu Roboh Rumah – Azmin Tak Tahu Undang-Undang

“Semoga kedai yang diberikan sewa serendah RM300 sebulan ini dapat bantu meneruskan perniagaan sebelum ini. Namun saya minta jangan dikutip lagi kutipan sewa ini, bagi mereka settle down dulu berpindah ke sini,” ujar Noh.
Pada masa sama beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor membidas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana tidak guna kuasa untuk bela rakyat.
“Itu memang arahan mahkamah, betul… Dalam kita hendak melaksanakan undang-undang, kena ada budi bicara. Jangan salah guna kuasa. Kalau kita nak tolong rakyat, kita gunalah kuasa eksekutif yang diberikan kepada kita.
“Dia (Azmin) sepatutnya membela rakyat, bukan membuli rakyat sendiri,” jelas Noh. Kerajaan Persekutuan BN ujarnya sentiasa prihatin dan ambil berat kehidupan rakyat di negeri ini walaupun diperintah oleh pembangkang.
“Alhamdulillah, kita dapat menyelesaikan perkara ini dengan cepat dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Kita juga hendak tunjukkan cara kita mempedulikan nasib rakyat bukan macam kerajaan Selangor tu.
“Mereka tidak reti hendak urus masalah rakyat dan pelbagai masalah lain di Selangor,” jelasnya. KPKT malah beri kelulusan serta merta kerana mangsa berstatus setinggan dan tidak memiliki sebarang rumah untuk didiami.
Pada 4 Oktober lalu, Kerajaan Selangor membenarkan Pejabat Tanah dan Galian Daerah Petaling merobohkan dua buah rumah dan tiga buah kedai berhampiran Masjid Lapangan Terbang Subang tanpa diberi pembelaan wajar.
Apa yang amat dikesali, mangsa-mangsa tidak diberikan sebarang rumah lain atau tempoh masa yang secukupnya untuk mereka berpindah sebelum tindakan kejam tersebut dapat berjaya dilakukan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

