Sunday, April 28, 2024

Creating liberating content

Penggunaan IBS Meningkat 81...

KUCHING – Penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Malaysia secara keseluruhannya meningkat kepada...

Nafi Tular Soalan Matematik...

KUALA LUMPUR - Tidak berlaku kebocoran soalan dan jawapan Matematik Kertas 1, Sijil...

KJ Maklum Harga Vaksin...

PUTRAJAYA - Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bersedia memberi taklimat kepada...

Demi Dokumentari, Lelaki Relakan...

BAGAIMANA rasanya apabila diri ditelan dan kemudian berada di dalam perut ular? Itulah...

Usaha Memartabat Seni Gamelan Di Terengganu

KUALA NERUS – Persembahan gamelan tetap diteruskan walaupun hanya ada seorang penonton, demi cinta sebuah kumpulan aktivis terhadap seni muzik itu.

Setiap minggu sejak Februari tahun lalu, kumpulan berkenaan mengadakan persembahan selama sejam secara percuma di Laman Warisan Sari Tok Jembal di sini.

Usaha murni itu digalas pemilik Laman Warisan Sari iaitu Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak dan isterinya Ariza Ibrahim yang juga seorang pemuzik gamelan adalah nadi.

Lebih membanggakan usaha Tun Faisal ini untuk memartabatkan seni warisan muzik itu turut mendapat sokongan padu abangnya yang juga aktivis gamelan iaitu Tun Baharum.

Tun Baharum ketika ditemui Bernama baru-baru ini berkata beliau bersama tujuh pemuzik serta enam penari secara konsisten membuat persembahan tanpa mengira berapa ramai penonton yang ada.

“Secara puratanya sejak tahun lalu, hampir 50 pengunjung akan datang ke sini untuk menyaksikan persembahan mingguan kami.

Jumlah pengunjung tidak akan menjejaskan keterujaan kami untuk mempersembahkan gamelan yang terbaik. Meskipun ada seorang pengunjung, kami tetap mengadakan persembahan,” katanya.

Setiap hari Sabtu, persembahan Santai Gamelan@Laman Warisan Sari akan bermula pada pukul 11 pagi dan berakhir pada 12 tengahari yang dilakukan secara bergilir-gilir bersama lima kumpulan gamelan yang lain.

PERSEMBAHAN PERCUMA

Tun Baharum adalah antara barisan pelapis pertama yang memperjuangkan warisan gamelan di Terengganu selepas kerajaan negeri itu menubuhkan Kumpulan Pemuzik dan Penari Tetap Negeri Terengganu atau singkatannya SUKTRA pada 1974.

SUKTRA diletakkan di bawah naungan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Allahyarham bapa Tun Faisal dan Tun Baharum iaitu Tun Abd Razak Sulaiman adalah pegawai pertama yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus kumpulan Suktra.

Menurut anak sulung dari lima beradik itu, persembahan yang mereka adakan tidak bermotifkan keuntungan kerana ia adalah percuma.

“Gamelan adalah jiwa saya. Ia sebuah perjuangan yang akan terus mengalir dalam tubuh badan saya dan insya-Allah saya akan terus aktif memainkannya selagi hayat dikandung badan.

“Rakyat Terengganu perlu menobatkan seni muzik gamelan kerana ia adalah warisan nenek moyang kita terdahulu. Bukannya muzik genre rock, jazz atau lain-lain,” kata Tun Baharum.

PENGLIBATAN GENERASI MUDA

Apa yang lebih membanggakan ialah semakin bertambahnya pembabitan generasi muda untuk sama-sama berganding bahu untuk memelihara khazanah muzik gamelan ini.

Dua buah sekolah yang aktif memertabatkan muzik gamelan diTerengganu dipilih menjadi sekolah angkat Pusaka iaitu badan yang menjalankan program pemuliharaan budaya di bawah naungan Khazanah Nasional.

Sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah dan SMK Sultan Sulaiman.

Di samping itu, Sekolah Kebangsaan Tok Jembal diambil menjadi sekolah angkat Sahabat Gamelan Terengganu.

Tun Baharum berkata semua universiti awam dan kebanyakan sekolah di Terengganu juga sudah mempunyai kumpulan muzik gamelan sendiri yang mampu menjadi pelapis pada masa akan datang.

“Setiap minggu, pasti ada pengunjung muda hadir menyaksikan persembahan kami. Malahan ada seorang lelaki berusia 30an sanggup memandu sendirian dari Kuala Lumpur untuk menikmati alunan gamelan di sini.

“Sudah empat kali beliau ke sini. Setelah persembahan habis, dia akan pulang semula ke Kuala Lumpur dan pastinya gamelan mempunyai pertalian yang dekat dan istimewa serta menjadi terapi untuk dirinya,” katanya yang enggan mendedahkan identiti lelaki tersebut.

SEJARAH GAMELAN DI TERENGGANU

Menyingkap sejarah asal usul gamelan di Terengganu, ia bermula pada tahun 1913, apabila Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman (Tengku Sulaiman ketika itu) berkahwin dengan puteri dari kerabat diraja Pahang iaitu Tengku Ampuan Maryam.


Menurut pakar sejarah gamelan Terengganu, Mohd Shahrul Azmi Hassan, disebabkan terlalu asyik dengan keindahan muzik dihasilkan gamelan di istana Pahang, bonda mentua Sultan Sulaiman telah meminjamkan satu set gamelan untuk dimainkan di istana Terengganu.

“Baginda telah menitahkan beberapa tukang untuk menghasilkan satu set gamelan baru dari campuran beberapa logam seperti tembaga dan timah.

“Sejak itu gamelan mula dimainkan di istana Terengganu untuk hiburan kerabat diraja dan pembesar istana. Ia hanya eksklusif untuk golongan istana sahaja dan rakyat bawahan masih tidak tahu apakah itu gamelan sehingga set gamelan milik Sultan Sulaiman ditemui di istana Kolam pada tahun 1973 ketika ia mahu diruntuhkan,” katanya.

PENUBUHAN SUKTRA

Susulan penemuan gamelan di istana berkenaan, Kerajaan Negeri Terengganu memutuskan untuk memartabatkan seni gamelan dan menubuhkan kumpulan Suktra untuk memastikan seni muzik itu terus wujud di Terengganu.

Mohd Shahrul Azmi berkata langkah berkenaan bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk sama-sama menikmati persembahan gamelan yang sebelum itu hanya dipersembahkan di dalam istana dan di majlis-majlis diraja.

Beliau yang juga Pegawai Kebudayaan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata terdapat lebih 90 lagu asal gamelan dan sesetengah daripadanya dipercayai dicipta sendiri oleh Sultan Sulaiman berdasarkan peristiwa yang berlaku di sekeliling baginda pada waktu tersebut.

Bagaimanapun, pemain gamelan pada hari ini hanya aktif memainkan kira-kira 20 lagu sahaja untuk persembahan semasa.

​​​​​​​Di Malaysia, hanya Terengganu mempunyai beberapa kumpulan seni gamelan yang sangat aktif manakala hanya segelintir aktivis gamelan masih aktif memainkannya di Pahang dan Kelantan.

ALAT MUZIK GAMELAN

Menurut Tun Baharum berkata walaupun alat muzik gamelan Terengganu berasal dari Indonesia tetapi nada bunyi, gubahan lagu-lagu, koreografi tarian dan busana penari adalah berbeza sama sekali daripada gamelan Jawa, Bali ataupun Sunda.

“Sebab itu gamelan Melayu Terengganu dan Malaysia amnya adalah satu genre gamelan yang diiktiraf oleh dunia muzik,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shahrul Azmi berkata gamelan mempunyai tiga set kategori alat muzik iaitu besi berharga RM40,000; set kuningan RM50,000 dan set paling mahal iaitu set perunggu berharga RM79,000 yang mengambil masa antara tiga hingga lima tahun untuk disiapkan.

“Tidak ada satu negara pun di dunia ini yang boleh menghasilkan peralatan gamelan kecuali Indonesia. Sehebat mana pun teknologi di negara maju tidak akan dapat meniru penghasilan gamelan seperti yang dibuat di Indonesia.

“Ini kerana ia dihasilkan dengan ketelitian dan kemahiran tinggi tukang di negara itu dengan sepenuh jiwa mereka maka terhasillah irama merdu hasil gabungan alat muzik gamelan,” katanya.

​​​​​Ditanya mengenai mitos untuk tidak melangkah peralatan muzik tradisional gamelan ini, beliau berkata ia adalah adab sopan masyarakat Melayu pada zaman dahulu kerana ia dipersembahkan sebagai hiburan golongan istana.

“Sampai sekarang pun pemain gamelan masih menghormati adat itu dan mitos kononnya sesiapa berjalan melangkah gamelan akan demam atau dilanda penyakit hanya bertujuan mahu mereka menghormatinya sahaja.

“Itulah bukti betapa tingginya peradaban Melayu pada masa dahulu. Tidak hanya sesama manusia, adab mereka terhadap barangan yang eksKlusif untuk kerabat diraja juga dipandang tinggi dan dikendalikan penuh tertib,” katanya.

HARAPAN AKTIVIS GAMELAN
​​​​​​​
Walaupun gamelan mula dipandang tinggi oleh masyarakat, kedua-dua aktivis ini sangat berharap agar ia terus dimartabatkan oleh pihak bertanggungjawab demi memelihara keseniannya di Terengganu.

Tun Baharum berkata beliau mengimpikan satu masa nanti dendangan gamelan akan berkumandang di beberapa lokasi strategik tumpuan ramai seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, hotel milik anak syarikat kerajaan negeri dan digunakan sebagai muzik latar untuk komunikasi di jabatan-jabatan kerajaan.

“Kami mengimpikan satu masa nanti gamelan menjadi identiti eksklusif untuk Terengganu dan menjadi kebanggaan rakyat negeri ini sebagai warisan istana untuk mereka,” katanya. – BERNAMA

Kategori