NAMA Sufian Suhaimi semakin popular kini sehinggakan setiap tindak-tanduk penyanyi ini pasti menjadi perhatian umum.
Bahkan, apabila dia sudah jarang-jarang berjumpa dengan Elfira pun ramai yang perasan! Apa ceritanya?
Sebelum membuat sebarang spekulasi melulu, mari kita baca penjelasan pelantun lagu Terakhir ini.
Menurut Sufian, dia akui tidak mempunyai masa untuk berjumpa Elfira berikutan terlalu sibuk dengan jadual kerja yang padat.
Dalam masa yang sama, Elfira juga kini sibuk dengan sesi penggambaran drama terbaru selepas dua tahun tidak terlibat dalam mana-mana.
“Sejujurnya, sekarang ini saya agak sibuk dengan persembahan pentas serta ada mencipta lagu untuk penyanyi lain dan Elfira pula sudah memulakan penggambaran drama terbaru.
“Jadi, kami jarang berjumpa dan fokus dengan kerja masing-masing, buat masa ini kurangkan ‘dating’ dahulu,” katanya memetik mStar Online.

Walaupun masing-masing sibuk dengan tuntutan kerjaya, namun pasangan ini kerap berhubung melalui panggilan untuk bertanya khabar.
“Walaupun sibuk dengan kerja masing-masing, kami selalu berhubung melalui panggilan telefon,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya tentang persediaan majlis, penyanyi ini akui segalanya berada dalam keadaan yang baik dan berjalan dengan lancar.
Sufian memaklumkan bahawa mereka tidak membuat persiapan yang keterlaluan untuk majlis berkenaan.
Mereka merancang untuk mengadakan sebuah majlis yang serba ringkas dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja.
“Persiapan ala kadar sahaja kerana ia hanyalah majlis pertunangan dan tak perlu nak terlalu mewah. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan dalam hal ini banyak perkara family uruskan,” ujarnya.
Sufian dan Elfira bakal mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober depan. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura