KUALA LUMPUR – Lebih 20 pelajar dan 2 tenaga pengajar dilaporkan maut dalam satu kejadian kebakaran di pusat tahfiz Darul Ittifaqayah di Jalan Keramat Ujung, di sini, awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Dato’ Soiman Jahid hari ini berkata kebakaran di percayai bermula sekitar 5.10 pagi berlaku dari atas bangunan.
Difahamkan, pihak bomba bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat panggilan kecemasan sekitar jam 5.41 pagi.
“Jabatan bomba telah menerima panggilan pertama pada pukul 5.41 pagi. Balai bomba Keramat telah sampai pada pukul 5.52 pagi.
“Sesampainya pihak bomba, keadaan telah marak lebih kurang dalam 80 hingga 90 peratus bangunan asrama dan tahfiz telah terbakar,” ujarnya ketika ditemui Mynewshub hari ini.
Saimon ketika ditemui berkata, setibanya pihak bomba ke lokasi kejadian semua mangsa ditemui berkumpul di tiga sudut yang berbeza.
13 orang daripada mangsa ditemui di bahagian kanan bagunan dalam keadaan mayat yang bertindih. Seorang berhadapan dengan pintu masuk dan selebihnya, di bahagian penjuru kanan.
“Mangsa ini telah berkumpul di tempat dan sudut yang berlainan. Satu disudut kanan seramai lebih kurang 13 orang dalam keadaan bertindih yang telah agak hangus. Satu pula berhadapan di pintu utama dan lapan lagi berada di hujung sudut sebelah kiri,” katanya.
Kesemua mangsa dikatakan telah meninggal dunia ketika ditemui. Yang lebih memilukan, keadaan kesemua mangsa dikatakan dalam keadaan yang rentung.
“Berdasarkan pemerhatian saya tadi, kesemua mangsa ini telah meninggal dunia dalam keadaan yang rentung,” ujarnya.
Beliau berkata perkara itu berkemungkinan berlaku berpunca daripada pembakaran ubat nyamuk dan litar pintas yang dipercayai berlaku di hadapan pintu masuk bilik asrama.
Bagaimanapun, tambahnya lagi siasatan masih lagi dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
“Punca utama kebakaran ini berlaku kemungkinan disebabkan perkara-perkara seperti ubat nyamuk, litar pintas dan sebagainya.
“Jabatan bomba telah membuat penyiasatan untuk mengenal pasti punca-punca kebakaran. Insyaallah dalam masa dua atau tiga hari ini kita akan menemui apa punca sebenar kebakaran,” katanya.
Kesemua mangsa kini telah dibawa ke hospital bagi tujuan postmortem dan bedah siasat. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura