PONTIAN – Cara pentadbiran ‘bottom-up’ (dari bawah) yang diamalkan oleh kerajaan persekutuan tidak semestinya diamalkan di peringkat atasan sahaja malah seharusnya menjadi contoh dan ikutan oleh pemimpin-pemimpin terutamanya di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Ahmad Maslan berkata pendekatan ini dilihat lebih terbuka dan telus terutamanya dalam mengambil kira pandangan dan idea-idea yang datang daripada masyarakat.
“Pendekatan ‘bottom-up’ ini perlu kerana masyarakat lebih tahu akan keperluan mereka, mereka lebih merasai apa yang terjadi di peringkat akar umbi jadi dengan adanya sesi-sesi dialog seperti Transformasi Nasional 2050 atau TN50 masyarakat akan dapat melihat keterbukaan kerajaan terhadap pandangan awam.
“Jadi pemimpin-pemimpin masyarakat atau jabatan-jabatan dan agensi kerajaan juga boleh mengambil contoh pentadbiran dan pendekatan ini dalam mendengar idea kakitangan dan rakyat sekali gus menambah baik struktur pentadbiran kita,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada program Dialog Terbuka TN50 di sini hari ini.
Tambahnya, langkah yang sama turut dilakukan yang mana ketika ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mengumpul pandangan dan cadangan berkaitan Bajet 2018 yang akan dibentangkan Oktober ini.
“Ini bukan kali pertama perkara ini dilaksanakan. Kalau kita lihat beberapa bajet tahun sebelum ini perdana menteri telah melaksanakan perkara yang sama. Ini penting kerana kerajaan benar-benar mahu rakyat terlibat dalam menentukan hala tuju negara.
“Apa yang menarik ialah pendapat tersebut diambil kira daripada seluruh lapisan masyarakat yang akhirnya dibentuk menjadi satu dasar yang dapat menjamin kesejahteraan umum,” jelas Anggota Parlimen Pontian itu.
Sementara itu, beliau berkata, fokus MITI pada sesi dialog TN50 adalah untuk mengajak lebih ramai golongan belia menyertai bidang keusahawanan dan tidak lagi bergantung kepada cara hidup ‘makan gaji’.
“Kita mahu melihat negara kita pada tahun 2050 nanti menjadi negara yang berteraskan keusahawanan yang mana sektor itu nanti menjadi sumber pendapatan utama rakyat kita dan bukan lagi makan gaji.
TN50 merupakan suatu gagasan yang diilhamkan Najib yang mana ia merupakan satu bentuk dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.
Melalui Dialog TN50, ia mampu mengumpul pandangan masyarakat terutamanya golongan muda yang akan menjadi asas kepada visi negara yang berkonsepkan gagasan dari bawah atau bottom up, bukannya arahan dari atas atau top down. – BERNAMA