KUALA LUMPUR – Seorang penganggur didenda RM2,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah cuba mencuri barang-barang di dalam sebuah kereta milik seorang lelaki.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Wong Tuck Wooi, 43, yang melakukan kesalahan itu di dalam kenderaan milik S. Sivabalan yang diletakkan di persimpangan keluar Petronas Batu 5 ½ Cheras di sini pada 4.30 pagi, 15 September lepas .
Pendakwaan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Nordin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa yang sedang bekerja ternampak tertuduh menaiki motosikal telah berhenti di hadapan kereta milik mangsa.
Mangsa terlihat tertuduh mengeluarkan sepana dan bertindak memecahkan cermin hadapan kereta mangsa lalu dia membuat laporan di balai polis berdekatan. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…