KUALA LUMPUR – Pahang telah menarik pelaburan domestik dan asing bernilai RM64.9 bilion dan mewujudkan lebih 55,933 pekerjaan, termasuk peluang-peluang keusahawanan sebanyak lebih kurang 3,538 sehingga Ogos 2017.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, pertumbuhan pelaburan swasta yang kukuh di Pahang telah disumbangkan oleh sektor perkilangan yang merekodkan 49.1 peratus daripada jumlah pelaburan.
“Ini diikuti oleh sektor pelancongan sebanyak 23.2 peratus serta minyak dan gas yang mencatatkan 14.2 peratus,” katanya.
Sektor fasilitasi perdagangan dan lojistik dijangka akan memainkan peranan yang semakin penting dalam ekonomi keseluruhan di Pahang dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), terutama, selepas naik taraf Pelabuhan Kuantan menjadi sebuah pelabuhan laut dalam selesai menjelang 2018.
“Setakat ini, projek berkenaan sudah siap 80 peratus, infrastruktur luar pelabuhan seperti jalan masuk, persimpangan dan jejambat sedang disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata penyiapan Taman Teknologi Pahang di Gambang dijangka akan membantu meningkatkan pelaburan, khususnya dalam industri berkaitan teknologi tinggi di negeri berkenaan dan ini akan memantapkan kedudukan kawasan tersebut sebagai Pusat Teknologi Komunikasi dan Maklumat ECER.
Beliau ketika mengulas mengenai pemerkasaan ekonomi Bumiputera, berkata sehingga Ogos 2017, sejumlah 44 projek pelaburan Bumiputera yang bernilai RM7.07 bilion telah mendapat manfaat daripada ECERDC dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju)@insentif ECER.
“Mereka seterusnya telah membantu mencipta sejumlah 4,354 peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau menambah sejak pengenalan program Dana Mudahcara TERAJU@ECER dalam tahun 2012, ia telah meluluskan sejumlah 21 projek Bumiputera melibatkan pelaburan sebanyak RM357.1 juta.
“Projek-projek banyak merangkumi sektor pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.
Mengenai program pembangunan modal insan seperti pemerkasaan ECER dan usahawan ECER, Program Peningkatan Bakat ECER dan Agropolitan, Jebasingam mendedahkan bahawa ianya telah memberi manfaat kepada lebih 39,715 penduduk Pahang.
“Program-program ini telah berjaya membangunkan 9,157 usahawan yang seterusnya telah mewujudkan lebih daripada 16,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Kira-kira 97 peratus daripada peserta adalah mereka daripada kategori Bawah 40 (B40),” katanya. – BERNAMA