SEREMBAN – Kerajaan negeri hari ini menyampaikan insentif wang tunai RM100,000 masing-masing kepada Amirahman Abas dan Normalina Alias yang menjuarai Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Amirahman merupakan Johan Qari Peringkat Antarabangsa pada tahun 2011 dan 2014, manakala Normalina pula merupakan Johan Qariah Peringkat Antarabangsa pada tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata insentif wang tunai itu diberikan sebagai pengiktirafan kerajaan kepada qari dan qariah yang mengharumkan nama negara dan negeri di peringkat antarabangsa.
“Saya rasa insentif wang tunai RM100,000 itu setimpal dengan usaha mereka yang boleh dikira setaraf juara dunia.
“Ini saya yakin akan dapat memberikan galakan dan semangat kepada mereka yang berminat dalam bidang ini, terutamanya anak-anak muda untuk terus memperkasa dan memperkemas bacaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penghargaan Kepada Johan Qari dan Qariah Yang Mewakili Negeri Sembilan ke Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa, di sini.
Amirahman yang merupakan guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, dekat sini ketika ditemui berkata, beliau melihat insentif yang diberi kerajaan negeri menjadi galakan kepadanya untuk terus melatih khususnya generasi muda dalam bidang pengajian al-Quran.
Normalina pula bercadang menggunakan hadiah wang tunai itu untuk membangunkan masyarakat yang memerlukan bantuan dalam mendalami ilmu taranum.
Sementara itu, Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut mencadangkan agar sebuah unit di bawah MAINS dan JHEAINS diwujudkan, yang dapat menjadi pusat latihan dan rujukan kepada orang ramai yang ingin memperkemas dan menajamkan lagi bacaan al-Quran.
“Saya cadangkan agar dibuat secara formal, ada gurunya yang kita khaskan dan diberi elaun supaya ia dapat diinstitusikan. Kita nak bakat yang ada pada qari dan qariah ini diasuh dan dilatih agar ada pelapis yang boleh mewakili Negeri Sembilan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya. – BERNAMA

