KUALA LUMPUR – Pemain skuasy lelaki utama negara, Mohd. Nafiizwan Adnan memulakan misi mempertahankan gelaran dengan bergaya apabila melangkah ke saingan suku akhir Kejohanan Antarabangsa Terbuka Hong Kong Football Club (HKFC) di Hong Kong, hari ini.
Selaku pemain pilihan keenam, Mohd Nafiizwan, bagaimanapun, menerima tentangan sengit daripada pemain Pakistan, Farhan Mehboob, sebelum melepasi pusingan pembukaan dengan keputusan 11-6, 7-11, 11-4 dan 11-4.
Menurut laman sesawang skuasy, www.squashsite.co.uk., Mohd Nafiizwan akan menghadapi laluan getir apabila berdepan dengan pemain pilihan kedua, Alan Clyne dari Scotland pada perlawanan suku akhir esok.
Clyne menempah slot suku akhir selepas dengan mudah menyingkirkan pemain tuan rumah daripada pusingan kelayakan, Chi Him Wong, 11-3, 11-6, 11-3 pada satu lagi perlawanan pusingan pertama.
Mohd Nafiizwan, yang berpangkalan di Manchester, England, merupakan satu-satunya wakil Malaysia dalam kejohanan itu selepas dua pemain senegara, Elvinn Keo dan Ng Eain Yow gagal melepasi halangan pertama pada pusingan kelayakan, Isnin lepas.
Berdasarkan format pertandingan, pemenang pusingan pertama layak secara automatik ke suku akhir.
Malaysia tidak menghantar wakil dalam kategori wanita pada kejohanan itu.
Tahun lepas, Mohd Nafiizwan merangkul gelaran itu dalam percubaan keempat selepas mengalahkan pemain New Zealand, Paul Coll, 11-6, 11-8, 11-8, dalam final. – BERNAMA