PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berharap dua agensinya – Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) – diterima menganggotai Jaringan Industri Sains dan Teknologi Negara-negara Berkecuali dan Negara-negara Membangun Lain (NAM S&T Industry Network).
Menterinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata Malaysia percaya dua agensi terbabit boleh menjadi nilai tambah kepada jaringan itu selain membuka peluang kerjasama pada masa depan.
“Malaysia telah mewujudkan beberapa platform bagi memudahkan inisiatif meningkatkan kerjasama dalam sains, teknologi dan inovasi termasuk Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta yang menghubungkan universiti tempatan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta program SIRIM Fraunhofer yang menumpukan kepada PKS dalam sektor pembuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada perasmian Mesyuarat Majlis Pentadbir NAM S&T dan Forum mengenai Perubahan Iklim: Impak dan Respons, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Madius berkata mekanisme serupa boleh diaplikasikan untuk negara anggota NAM S&T membangunkan platform yang memupuk ekosistem bagi berkongsi maklumat, pengetahuan, pengalaman dan kepakaran.
NAM S&T Industry Network diwujudkan oleh NAM S&T Centre bagi menggalakkan dan menyediakan peluang kepada agensi saintifik, institusi akademik dan penyelidikan serta pusat-pusat kecemerlangan dan industri di negara membangun mengambil bahagian dalam kegiatan saintifik pusat itu.
NAM S&T Centre merupakan badan antara kerajaan yang dianggotai 48 negara NAM dan negara membangun lain dengan mandat menggalakkan kerjasama antara saintis dan pakar teknologi serta pertubuhan-pertubuhan saintifik dan teknologi dalam kalangan negara anggota.
Malaysia menganggotai pusat itu pada 1994 dan memainkan peranan aktif dengan menganjurkan pelbagai aktiviti seperti bengkel dan latihan bersama pusat berkenaan. – BERNAMA

