PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mendapati laporan perubatan yang didapatkan oleh bekas peguam Datuk V. K. Lingam dari sebuah hospital di Amerika Syarikat adalah palsu, untuk alasan ketidakhadirannya, dalam prosiding menghina mahkamah.
Panel lima hakim diketuai Tan Sri Suriyadi Halim Omar dengan itu memerintahkan Lingam supaya hadir pada 8 Nov bagi menjawab tuduhan menghina.
“Ini dapatan kami. Dokumen itu adalah palsu. Kami menolak penangguhan dan meneruskan pendengaran,” kata Hakim Suriyadi.
Peguam R. Thayalan yang mewakili Lingam bangun dan memberitahu panel bahawa beliau tidak mendapat arahan untuk meneruskan kes tanpa kehadiran anak guamnya; lalu Hakim Suriyadi berkata ini bererti anak guam itu (Lingam) cukup yakin mahkamah akan menangguhkan pendengaran.
“Anak guam saya tahu mengenai kes ini. Saya tidak mahu dikenakan sebarang tindakan disiplin kerana bertindak tanpa kehadirannya.
“Oleh itu saya melepaskan diri saya daripada mewakilinya (Lingam),” kata Thayalan dan menambah beliau akan memberitahu Lingam yang beliau dikehendaki hadir pada 8 Nov.
Hakim Suriyadi berkata Lingam mesti hadir pada hari itu, jika tidak mahkamah akan meneruskan pendengaran tanpa kehadirannya oleh kerana mahkamah telah memberikannya banyak masa.
Terdahulu, Thayalan berkata laporan perubatan bertarikh 10 Mei tahun ini, menyatakan Lingam tidak mampu untuk perjalanan tempoh lama oleh kerana beliau mengalami retak pinggul dan sakit belakang.
Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan rekod Jabatan Imigresen, Lingam telah meninggalkan Malaysia pada 23 Dis, 2013 dan tidak ada rekod menunjukkan beliau telah pulang.
Amarjeet berkata rekod itu menujukkan Lingam telah membaharui pasportnya di London pada 14 Jun, 2017, sebulan selepas laporan perubatan dikeluarkan.
“Ini bererti beliau (Lingam) sihat untuk melakukan perjalanan dan boleh hadir dalam prosiding hari ini,” kata Amarjeet yang mahukan kes itu diteruskan.
Lingam dan 24 yang lain dikenakan dakwaan menghina mahkamah empat tahun lepas, kerana mendakwa bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan telah memplagiat penghakimannya dalam kes Kian Joo Can Factory (KJCF).
Dalam kes yang sama, panel juga mendenda Lim Ah Eng, 88, dan Doris See Siew Lian, 70an, yang merupakan pemegang saham minoriti KJCF masing-masing sebanyak RM100,000 atau lapan bulan penjara selepas mengekalkan pengakuan bersalah menghina mahkamah.
Hakim Suriyadi memerintahkan Lim membayar denda dalam masa 24 jam sementara See, yang berada di United Kingdom, membayar denda dalam masa seminggu.
Pada 23 Ogos, 2013, Lingam dan 24 yang lain gagal untuk mengetepikan tuduhan menghina itu bila mahkamah memutuskan bahawa terdapat kes prima facie terhadap mereka.
Pada 7 Ogos, 2014, Mahkamah Persekutuan membenarkan Peguam Negara mengambil alih prosiding menghina mahkamah daripada pemohon asal, penyelesai KJH, Ooi Woon Chee dan Ng Kim Tuck yang menarik balik tuduhan itu.
Pada November tahun lepas, Mahkamah Persekutuan mengenakan denda berjumlah RM2.15 juta ke atas seorang lagi peguam dan 12 pemegang saham majoriti dan lapan minoriti sebuah syarikat kerana menghina mahkamah.
Perbalahan undang-undang yang membawa kepada prosiding menghina mahkamah dalam kes berkenaan bermula pada 2009 bila responden merujuk ke Mahkamah Tinggi selepas syarikat pesaing Can-One International Sdn Bhd memenangi tender untuk membeli 32.9 peratus saham KJFC.
Responden gagal di Mahkamah Tinggi untuk menyekat Can-One daripada mendapatkan saham berkenaan. Bagaimanapun Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu.
Kes itu kemudian dibawa ke Mahkamah Persekutuan di mana panel hakim tiga anggota membuat keputusan memihak kepada penyelesai dan responden memfail semakan keputusan, sambil menyebut berlaku amalan plagiat dalam penghakiman bertulis mahkamah, tetapi ini ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 22 Mei, 2013. – BERNAMA