JAKARTA – Lebih 5,000 anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia hari ini menyertai demonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Besar Myanmar di sini bagi membantah krisis kemanusiaan Rohingya di Rakhine, Myanmar.
Mereka mula berkumpul pada tengah hari dan memulakan siri pidato oleh beberapa pemimpin NGO selepas solat jemaah Zuhur di hadapan bangunan kedutaan negara itu.
Tinjauan Bernama mendapati ramai di antara mereka membawa sepanduk dan poster yang tertera tulisan menggesa pihak berkuasa Myanmar berhenti daripada menzalimi masyarakat Rohingya, serta membawa beberapa keping foto mengenai kezaliman yang sedang dilakukan.
Mereka juga meminta kerajaan Indonesia mengusir duta Myanmar dari negara itu dan menggesa Presiden Joko Widodo mengambil tindakan drastik memberi tekanan diplomatik terhadap negara berkenaan dan menggesa Mahkamah Antarabangsa mengambil tindakan terhadap kerajaan Myanmar.
Setelah berdemonstrasi selama kira-kira dua jam, pihak kedutaan Mynmar kemudiannya membenarkan empat daripada pemimpin penganjur demontrasi itu dan diringi polis Indonesia memasuki pejabat bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka.
Sementara itu, lebih 1,000 anggota polis kelihatan mengawal demonstrasi dan memasang dawai kawat di hadapan pejabat kedutaan bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
Ketua Hubungan Masyarakat Polis Daerah Metro Jaya Raden Prabowo Argo Yuwono dipetik oleh media-media dalam talian sebagai berkata demonstrasi itu berjaya dikawal dan berakhir dengan suasana aman.
Ahad lepas, Presiden Jokowi berkata Indonesia mahu isu krisis kemanusiaan Rohingya itu diselesaikan secara objektif dan bukan sekadar retorik untuk mengecam kerajaan negara berkenaan.
Menteri Luar Retno Marsudi telah bertemu dan berbincang dengan pimpinan kerajaan Myanmar pada Isnin lepas sebelum ke Bangladesh bagi membantu negara itu menerima pelarian Ronghiya.
Myanmar kini didakwa giat melancarkan operasi “pembersihan etnik” dengan membunuh ribuan masyarakat Rohingya atas alasan kononnya untuk menghapuskan pemberontak dan militia di negara itu. – BERNAMA

