PERTAMA kali dalam sejarah selepas lapan dekad, rakyat Jepun kembali panik dan memulakan langkah menyiapkan kubu perlindungan di rumah masing-masing.
Kali terakhir Jepun pernah dibom oleh orang luar ialah pada Ogos 1945. 130 ribu penduduk terbunuh apabila Hiroshima dibom pada 6 Ogos dan Nagasaki pada 9 Ogos.
Ia menjadi penamat kepada pembabitan Jepun pada Perang Dunia 1941-1945. Jepun juga menyerah kalah akibat dua serangan atom oleh Amerika Syarikat (AS)
Di PBB, 77 tahun selepas serangan terhebat dalam sejarah dunia terhadap Jepun, Duta AS ke PBB, Samantha Power kini menyifatkan Korea Utara pula sengaja mengharapkan peperangan berlaku.
Meneruskan sejarah kedegilan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Power menyifatkan, Pyongyang terus melakukan provokasi dengan pelbagai ujian senjata nuklear bagi memancing kemarahan Seoul, Tokyo dan Washington.
Kegilaan Presiden Korea Utara, Kim Jong-un terhadap kemahuan memulakan perang sangat ketara sejak menggantikan ayahnya, Kim Jong-il pada 17 Disember 2011.
Selain kekejaman domestik dengan bunuh saudara-mara yang disyaki berkonspirasi China untuk menjatuhkannya, Jong-un turut disyaki atur misi pembunuhan abangnya, Kim Jong-nam di Kuala Lumpur pada 13 Februari lalu.
Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in memulakan langkah diplomatik kelmarin, dengan meminta rakan sejawatnya di Rusia, Vladimir Putin ‘pujuk’ Korea Utara supaya henti provokasi perang menerusi ujian program nuklear.
Jae-in menyifatkan, tindakan Jong-un punca utama ketegangan di rantau Asia Timur dan Semenanjung Korea.

“Keadaan menjadi tidak terkawal sekiranya Korea Utara tidak menghentikan provokasi dan kami berharap Rusia bekerjasama menangani isu ini,” kata Jae-in selepas bertemu Presiden Putin di Vladivostok, Rusia.
Ironinya, Putin seperti sudah berputus asa dan menganggap Jong-un sebagai tidak mungkin mahu mendengar nasihat Moscow. Putin mengakui sukar menangani isu membabitkan Korea Utara, jika hanya satu pihak terlibat.
Malah, resolusi sekatan antarabangsa yang diputuskan Majlis Keselamatan PBB tidak langsung berkesan terhadap Pyongyang. Putin seperti mengharapkan AS juga mengalah dan tidak terus menekan Pyongyang.
Ini dengan menggerakkan armada ketenteraan ke wilayah konflik. Namun, Putin jelas menampakkan pada dunia, Moscow tidak mampu mengawal Jong-un.
“Sekatan PBB tidak memberi kesan kepada Pyongyang, walaupun program nuklear dan peluru berpandu sah satu pencabulan terang-terangan terhadap Resolusi PBB,” kata Putin.
Lebih menyakitkan kepala ialah kenyataan Putin: “Sebenarnya, lebih tepat, semua ini (proees keamanan) mustahil dicapai.”
Dalam kata lain, sama ada Putin atau China, sebarang usaha memujuk Jong-un hanya usaha sia-sia. Semua tahu, matlamat sebenarnya Pyongyang ialah mendapatkan wang perlindungan daripada negara-negara jirannya dan AS.
Ini bukan perkara aneh, kerana sejak era bapanya, Kim Kong-il, Pyongyang kerap mengugut pampasan dalam bentuk bantuan kewangan dengan menjadikan senjata nuklear sebagai bahan percaturan.
Cuma bezanya, Jong-un kini dinosaur yang tidak boleh dikawal. Malah, mungkin psikopath yang gilakan peperangan. – MYNEWSHUB.CC

