BANGKOK – Satu kajian mendapati kanak-kanak yang tinggal di wilayah paling selatan di Thailand, paling ramai berdepan masalah pemakanan tidak seimbang jika dibandingkan dengan rakan sebaya di negeri lain.
Menurut kajian Pejabat Statistik Kebangsaan (NSO) yang disokong Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati, kanak-kanak berumur lima tahun di wilayah Narathiwat, Yala, Pattani, Satun dan Songkhla mengalami masalah tumbesaran iaitu tidak mencapai ketinggian sesuai berbanding kanak-kanak normal seusia mereka.
Di Wilayah Narathiwat, kira-kira 29 peratus kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami masalah tumbesaran terbantut berbanding purata negara sebanyak 11 peratus.
“Ia masalah serius,” kata wakil UNICEF Thailand dalam satu kenyataan di sini, sambil menambah bahawa kanak-kanak yang tinggal di kawasan itu tidak diberi nutrien mencukupi serta seimbang sejak sekian lama.
Pemakanan tidak seimbang boleh menyebabkan perubahan fizikal dan menjejaskan perkembangan otak kanak-kanak sekaligus boleh memberikan kesan buruk sepanjang hayat mereka dan masyarakat keseluruhannya, katanya.
Menurut UNICEF, sebanyak 13 peratus kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Wilayah Pattani mengalami penyusutan berat badan diikuti Wilayah Narathiwat sebanyak 11 peratus berbanding purata negara iaitu pada lima peratus.
Kajian turut mendapati masalah pemberian imunisasi menjadi kebimbangan utama, memandangkan jumlah kanak-kanak yang menerima suntikan imunisasi penuh di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani masih rendah.
Di Narathiwat hanya 37 peratus kanak-kanak menerima suntikan imunisasi, di Yala sebanyak 39 peratus manakala di Pattani 40 peratus.
Menurut UNICEF, 72 peratus kanak-kanak berusia satu tahun di Thailand menerima suntikan imunisasi sepenuhnya.
Davin berkata, terdapat keperluan meningkatkan usaha bagi memastikan kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran mementingkan perlindungan yang membolehkan potensi penuh mereka dicapai. – BERNAMA

