KUALA LUMPUR – Ibu bapa diminta tidak bimbang mengenai tahap keselamatan peserta Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana setiap kem PLKN memiliki prasarana yang lengkap serta kondusif.
Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam satu kenyataan berkata, setiap kem PLKN di seluruh negara mematuhi piawaian semasa berhubung aspek keselamatan dan kesihatan.
“Pemeriksaan berkala terhadap aspek keselamatan serta kesihatan akan dilaksanakan oleh agensi-agensi yang berkenaan.
“Sepanjang program berlangsung, para pelatih akan sentiasa diawasai oleh jurulatih yang berkelayakan dan berkaliber.
“Para pelatih juga dilindungi insurans dan diberi elaun latihan sebanyak RM200,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut JLKN, pengambilan terakhir peserta PLKN 2.0 tahun ini akan bermula pada 30 September hingga 28 November 2017.
Pergerakan masuk pelatih ke kem PLKN akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 September dan 1 Oktober ini.
“Ia melibatkan 77 pusat berkumpul di seluruh negara. Senarai pusat berkumpul boleh disemak di laman web www.khidmatnegara.gov.my,” kata JLKN.
Dalam pada itu, kata JLKN, pendaftaran masih dibuka dan jabatan itu mengalu-alukan remaja yang lahir pada tahun 1997, 1998 dan 1999 datang terus ke mana-mana 52 kem PLKN yang beroperasi pada tarikh tersebut.
Jelas PLKN, pengambilan pelatih dilaksanakan secara sukarela dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah dengan pencalonan bermula daripada Tingkatan 5.
Ia bagaimanapun tertakluk kepada kriteria ditetapkan termasuk sihat tubuh badan dan mendapat kebenaran ibu bapa. – MYNEWSHUB.CC