SERDANG – Menjadi satu-satunya wanita di Kelantan yang mengusahakan perikanan bot laut dalam, Biby Aisya Assiah Kutty melihat perkara itu sebagai cabaran untuk terus mengembangkan perniagaannya.
Sebagai ibu tunggal, Biby Aisya, 36, berkata tidak mudah bagi wanita sepertinya menjalankan aktiviti perikanan bot laut dalam, tetapi semua itu perlu ditempuhinya untuk terus berjaya.
Katanya, beliau memulakan perniagaannya itu pada 2005 bersama bekas suaminya bermula dengan tujuh buah bot.
“Bekas suami saya beri saya kerja dengan dia. Selepas itu semakin lama semakin berkembang sehinggalah kini saya mempunyai 18 buah bot laut dalam berpengkalan di Tok Bali, Kelantan,” katanya kepada Bernama selepas perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Kejayaan ibu kepada dua anak itu menerima pelbagai penghomatan sehingga terpilih menjadi usahawan tani contoh, malah namanya disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan sewaktu perasmian HPPNK 2017.
Hasil kecekalan dan kegigihannya, Biby Aisha mampu memperoleh pendapatan melebihi RM2 juta setahun hasil daripada perikanan bot laut dalam selain menggiatkan diri dalam industri hiliran rumpai laut dan produk kosmetik.
“Cabaran banyak sebab bukan semua wanita boleh berada dalam kapal dan turun ke laut. Saya kadang-kadang kena turun sendiri dan pilih hasil tangkapan yang akan dipasarkan. Saya perlu menguruskan segala hal berkaitan bot dan juga hasil tangkapan,” katanya.
Beliau berkata jumlah tangkapan hasil laut juga berbeza mengikut jenis kapal dan pukat serta semua hasil tangkapan akan dipasarkan di dalam dan luar negara.
“Kita ada peraih dan kita eksport ikan antaranya ke Thailand dan Singapura. Jumlah nelayan dan hasil tangkapan berbeza-beza. Kalau kita gunakan pukat jerut, jumlah tangkapan boleh mencecah sehingga 50,000 tan untuk satu pendaratan,” katanya.
Menjadikan usahawan Datuk Dr Maznah Hamid yang dipanggil Iron Lady Malaysia sebagai idola, Biby Aisha juga menceburi bidang kecantikan dengan menghasilkan produk berasaskan rumpai laut.
“Pesanan saya pada wanita jangan sesekali berputus asa. Kita kena sentiasa berusaha dan terus berusaha, kita gunakan segala peluang yang kerajaan beri untuk terus berjaya dalam apa jua bidang kita ceburi,” katanya.
HPPKN 2017 menyediakan pelbagai tarikan termasuk jualan hasil pertanian segar, produk perikanan, makanan, teknologi pertanian dan pameran pelancongan.
Seramai 500,000 pengunjung dijangka hadir ke HPPNK 2017 yang diadakan selama empat hari bermula hari ini, dengan sasaran nilai jualan RM30 juta. – BERNAMA