PEMBATALAN perpindahan pemain Ross Barkle ke Chelsea terus mencetuskan kontroversi berikutan kelab Everton kini berhadapan dengan masalah berkaitan dengan perjanjian itu.
Barkley menafikan kenyataan pemilik Everton, Farhad Moshiri sebelum ini bahawa beliau telah menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum bertukar fikiran terhadap penghijrahan itu.
Bagaimanapun Everton merasakan mereka dipengaruhi oleh pemain berusia 23 tahun itu yang bersetuju dengan terma-terma peribadi bersama Chelsea dan berkunjung ke pusat latihan mereka bagi memuktamadkan perjanjian tersebut.
Barkley tampil menjawab menerusi kenyataannya di Twitter: “Saya tak ada pun menjalani pemeriksaan kesihatan dengan mana-mana kelab buat masa ini, bertentangan dengan laporan media.
“Saya hanya membuat keputusan berdasarkan kecederaan saya. Lebih baik membuat keputusan mengenai masa depan saya dan menilai segala pilihan pada Januari nanti apabila saya pulih sepenuhnya. Terima kasih atas semua yang menyokong.”
Kontrak Barkley di Everton tamat pada musim panas ini dan beliau menolak tawaran £100,000 (RM553,394) daripada Everton tahun ini.
Beliau dijangka meninggalkan kelab berkenaan pada Januari depan. – Mail Online/mStar Online