KANGAR – Anggota Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) perlu mendaftar nama mereka untuk mendapatkan bantuan di bawah program Bantuan Bakti Negara (BBN) yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.
Presiden PVATTBM, Ismail Abidin berkata setakat ini, 14,305 anggota telah mendaftar iaitu 11,000 orang telah mengisi borang dan bakinya mendaftar secara dalam talian.
“Jumlah ini masih terlalu sedikit berbanding kira-kira 77,000 orang di seluruh negara yang layak,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Ismail meminta semua pihak khususnya pemimpin masyarakat agar menguar-uarkan BBN kepada veteran-veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen supaya mengisi borang sebelum 31 Okt ini.
Katanya PVATTBM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Malaysia telah melakukan pelbagai cara untuk menyampaikan maklumat tersebut di seluruh negara termasuk taklimat, dialog, edaran surat pemberitahuan serta hebahan melalui media cetak dan elektronik. – BERNAMA