KUANTAN – Seramai 49 penduduk dari Kampung Orang Asli Batu 55 dan Kampung Bukit Kuin, Maran dekat sini dipindahkan selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat, hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusoff berkata mangsa ditempatkan di Balai Raya Kampung Orang Asli Batu 55 dan Surau Kampung Bukit Kuin, masing-masing seramai 32 dan 17 orang.
“Kesemua mangsa mula berpindah sekitar 5 pagi apabila air dari sungai berhampiran melimpah dan masuk ke rumah penduduk setinggi kira-kira satu meter.
“Bagaimanapun keadaan banjir di Kampung Orang Asli Batu 55 pulih sepenuhnya pada 9 pagi dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata paras air di Kampung Bukit Kuin menunjukkan penurunan berikutan keadaan cuaca bertambah baik dan setakat ini, pihak terlibat masih memantau perkembangan semasa.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut tampil menghulurkan bantuan berbentuk makanan dan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir. – BERNAMA