DAIK (Riau, Indonesia) – Seramai 44 peserta termasuk lima pengamal media memulakan pendakian ke Gunung Daik sempena Sambutan Hari Malaysia hari ini.
Cabaran Gunung Daik yang turut disertai anggota Pemuda UMNO Bahagian Pekan, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta warga kerja Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh, Pahang memulakan pendakian di Gerbang Daik pada 9 pagi (waktu tempatan) hari ini.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan Datuk Shahruddin Ahmad yang mengetuai ekspedisi itu, berkata pendakian ke Gunung Daik yang ketinggiannya 1,165 meter dari aras laut, akan mengambil masa dua hari.
“Pagi ini (Sabtu) pendakian bermula dari Gerbang Daik dan peserta akan bermalam di tapak khemah kem pangkalan Gunung Daik pada ketinggian 800 meter.
“Peserta akan meneruskan pendakian awal pagi Ahad dan dijangka ke titik terakhir laluan pendakian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata pendakian itu memerlukan komitmen dan semangat berpasukan tinggi semua peserta bagi menjayakan ekspedisi kali ini.
Cabaran ini bertujuan menyemai semangat kerjasama, jati diri, disiplin peserta sebagai usaha memupuk semangat patriotik dalam kalangan peserta, katanya.
Ekspedisi anjuran Pemuda UMNO Pekan dengan kerjasama JBPM dan Kelab Media Pahang (KMP).
Turut menyertai ekspedisi ialah Ketua Pengarah JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Presiden KMP Datuk Nik Naizi Husin yang juga jurugambar akhbar The Star.
Kumpulan media juga disertai wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Linda Khoo, Pengarang Bersekutu Harian Metro Husain Jahit, Penolong Rencana 2 Kosmo, Norzasrudin Mohamed Nor dan Jurugambar Utusan Malaysia Mohd Mahathir Mohd Ali. – BERNAMA

