KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin menyumbang 20 lembu bagi ibadah korban kepada penduduk di daerah Putatan bersempena sambutan Aidiladha Jumaat ini.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata kesemua lembu itu akan diagihkan kepada 20 masjid dan surau di kawasan berkenaan.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan lembu itu, dekat sini hari ini.
Sementara itu, Yahya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Petagas mencadangkan agar pemilihan jawatan pengerusi masjid di Putatan tidak dipertandingkan melalui undian.
Beliau mahukan pengerusi dipilih berdasarkan kelayakan dan kemampuan mentadbir urus masjid dengan baik. – BERNAMA