FOTO-FOTO dan rangkaian visual pembunuhan dan pembantaian di Rakhine kini tersebar secara meluas. Akses untuk menilai kekejaman Junta Tentera terhadap penduduk Muslim Rohingya boleh dilihat dengan mudah.
Bukan rahsia, seperti amaran PBB: Rakhine kini The Killing Field.
Sejarah Nazi, sejarah Pol Pot dan sejarah Sebrenica berulang. Namun, lebih panjang lagi sejarah Palestin. Kini, Rakhine membuka era baharu kekejaman terhadap tamadun manusia.
Persoalannya: Apakah manusia masih punya tenaga untuk membela kebenaran?
Kepada umat Islam: Apakah tenaga sudah luntur?
Pergilah ke OIC atau tanyalah ketua-ketua negara Islam: Apakah pemimpin umat hari ini masih punya perasaan sesama Islam?
Jawabnya mudah: Jangan minta jawapan, sebab yang diukur ialah tindakan.
Serangan di Rakhine dilaporkan CNN dan BBC penuh komited. Ketika Texas dilanda taufan Harvey, bencana tahap dua yang melanda 42 daerah di Texas, CNN komited meletakkan isu Rakhine sebagai antara lima berita utama.
CNN dicap berbau Yahudi. Tapi kekejaman Junta Myanmar tetap ditentang secara terbuka.
BBC Online meneruskan kempen: Rohingya bangsa paling mesra di dunia. Mengapa dibunuh?
Serangan terbaharu di Rakhine bermula 25 Ogos lalu, dianggap yang terburuk sejak krisis bersenjata antara Junta Tentera dan penduduk Muslim meletus pada Oktober 2012. Serentak dengan perang saudara di Syria.
OIC, kata seorang bekas menteri: “Tidak dapat menyenaraikan isu Rohingya sebagai isu utama kerana agendanya dipenuhi dengan krisis Syria, Libya, Yaman dan Iran.”
Jadi OIC, kata bekas menteri ini: “Sukar dijadikan tempat bergantung untuk membela Muslim Rohingya.”
Semalam, angka kematian akibat pembantaian di 23 kampung di Utara Rakhine dianggarkan 500 orang.
Jadi baru empat hari krisis, pembunuhan sudah begitu dahsyat. Malah, ada petunjuk, serangan kali ini akan jadi lebih buruk daripada krisis Oktober tahun lalu yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa. Krisis inilah yang menimbulkan kemarahan kita.
Rohingya, dikelaskan PBB sebagai 70 peratus buta huruf dan tidak mendapat akses pendidikan. Jumlah 1.1 juta Muslim yang dinafikan hak kewarganegaraan dalam Perlembagaan Myanmar ini, jelas turut disisihkan dunia. Dunia sekular dan dunia Islam.
Ia sejajar dengan istilah keletihan jiwa yang dikaitkan dengan krisis identiti umat Islam abad 21.
Terlalu banyak krisis, bermula isu perang hingga isu kebuluran. 200 juta yang berdepan bencana dunia, 90 peratus membabitkan umat Islam.
Dari Sub Sahara sampai Timur Afrika, dari Utara Afrika sampai ke Timur Tengah, dari Asia Selatan ke Indo China, umat Islam paling melarat hidupnya.
Di Barat, sejak peristiwa 11 September 2001, umat Islam menjadi mangsa xenophobia. Jadi, isu umat Islam mendominasi dunia.
Ya Allah… jangan Engkau letihkan hambaMu orang Islam. Berikan kekuatan. Berikan keberanian.
Lihatlah Makam Hamzah di Quba, Makam Khalid di Homs serta Makam Saad di Uighur. AgamaMu disebarkan dengan nyawa para panglima. – MYNEWSHUB.CC

