LONDON – Kebimbangan dalam kalangan vegetarian dan kumpulan agama mengenai penggunaan lemak haiwan untuk menghasilkan wang kertas plastik baharu tidak akan mengubah pendirian Bank of England (BoE).
Bank pusat berkenaan telah memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan mengubah cara pembuatan wang kertas negara berkenaan.
BoE berkata, satu-satunya alternatif untuk menghasilkan wang kertas polimer adalah menggunakan bahan kimia lebih mahal yang diperoleh daripada minyak sawit.
Selain itu, pembekalnya tidak mampu dengan hanya menggunakan minyak sawit dalam pengeluaran bersifat mesra alam.
Tahun lalu, lebih 130,000 orang telah menandatangani petisyen menggesa BoE menghentikan penggunaan produk haiwan dalam pembuatan wang kertas.
Tindakan itu selepas terdapat laporan menyatakan sejumlah kecil lemak haiwan daripada lembu dan biri-biri yang digunakan dalam wang kertas plastik bernilai £5 (RM28).
Beberapa kuil Hindu dan restoran vegetarian enggan menerima wang kertas itu yang memaparkan pemimpin Perang Dunia Kedua, Winston Churchill serta dikatakan lebih tahan lama dan sukar dipalsukan. – Reuters/mStar Online