KUALA PILAH – Dalam proses menuntut kemerdekaan negara, masyarakat masa kini seakan terlupa dengan peranan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, kata Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Datuk Muhammed Abdullah.
Beliau berkata semasa ingin menuntut kemerdekaan, residen British memanggil Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin untuk menyerahkan setiap jajahan masing-masing kerana Yamtuan Besar tidak boleh tandatangan seorang disebabkan negeri ini diperintah secara bersama.
“Hal ini dapat dibuktikan apabila Undang Luak Johol Manaf bin Tolok telah dipanggil untuk menandatangani pengisytiharan kemerdekaan pada tahun 1957 bersama dengan Undang Luak Sungai Ujong, Jelebu, Rembau dan Tunku Besar Tampin ketika itu.
“Penglibatan Undang Yang Empat dan Tuanku Besar Tampin ini tidak diketahui oleh golongan muda atau generasi Y bahawasanya pemimpin ini terlibat secara langsung dalam mengisytiharkan kemerdekaan tanah air,” katanya selepas Majlis Penutup Konvoi Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kuala Pilah di Balai Undang Luak Johol di sini, hari ini.
Mohammed berkata pendekatan yang dibuat oleh pemimpin negeri adalah sangat baik dengan mengakhiri konvoi di balai ini kerana sejak dahulu semangat merdeka bermula dari istana termasuk juga di balai undang.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol Abu Samah Mahat dan Datuk-Datuk adat.
Konvoi yang bermula hari ini telah menjelajah sekitar daerah Kuala Pilah bermula di Pejabat Daerah Kuala Pilah dilepaskan oleh ADUN Senaling Datuk Ismail Lasim kemudian bergerak ke DUN Juaseh dan singgah di Sekolah Menengah Tanjung Ipoh sebelum berakhir di Balai Undang Luak Johol yang disambut oleh Yang teramat Mulia Undang Luak Johol dekat sini, hari ini.
Di kempat-empat perhentian itu, konvoi menyerahkan Jalur Gemilang kepada ADUN kawasan yang dilalui oleh konvoi dan antara pengisian konvoi ialah nyanyian lagu Negaraku, lagu-lagu patriotik bagi menyemarakkan lagi semangat menyambut Hari Kebangsaan.
Majlis itu diserikan lagi dengan penglibatan agensi kerajaan dan swasta, pelajar tahfiz, pelajar sekolah berhampiran dan penduduk sekitar jajahan Johol yang terdiri daripada kaum India, Cina, Melayu dan Orang Asli. – BERNAMA