BANGKOK – Thailand sedia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2019 sekiranya Filipina tetap mahu menarik diri daripada menjadi hos.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Thailand (OCT), Charouck Arirachakaran berkata tawaran Thailand turut bergantung sekiranya tidak ada negara lain yang mahu menjadi tuan rumah.
“Filipina mesti membuat penarikan diri secara rasmi semasa Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA di Kuala Lumpur dari 17 hingga 18 Ogos ini,” katanya seperti yang dipetik media tempatan hari ini.
Vietnam akan menjadi hos pada 2021 sementara Kemboja dua tahun kemudian.
Beliau berkata Thailand mampu menjadi hos pada 2019 kerana ia tidak perlu mewujudkan perkampungan sukan.
Arirachakaran berkata wilayah seperti Chiang Mai dan Chonburi mempunyai venue pertandingan yang mencukupi dan mampu menampung jumlah atlet yang besar.
Thailand akan menghantar 404 atlet ke Sukan SEA Kuala Lumpur bermula 19 Ogos ini.
Pengerusi Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC), Butch Ramirez sebelum ini dilapor sebagai berkata Filipina menarik diri daripada menjadi penganjur Sukan SEA 2019 susulan berlaku krisis keselamatan di Marawi, Pulau Mindanao angkara kumpulan militan Daesh. – BERNAMA