KUALA LUMPUR – Selebriti tanah air, Datuk Rosyam Nor bersama 20 peserta termasuk wakil media tempatan hari ini berjaya menamatkan misi pendakian 2,200 anak tangga Menara Kuala Lumpur (Menara KL) ‘Climb for #QuranHour’ dalam tempoh kira-kira satu jam.
Aktiviti pendakian itu merupakan acara simbolik bagi membina momentum ke kemuncak program World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour yang akan disambut pada 31 Ogos ini.
Acara pelepasan pendakian bermula pada 10.30 pagi di Taman Eco Rimba Kuala Lumpur di Hutan Simpan Bukit Nanas disempurnakan oleh Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub bersama Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan.
Rosyam, selaku Ikon Rumah Ngaji, berkata pengalaman mendaki anak tangga Menara KL berjaya mencetuskan semangat perpaduan dan kekeluargaan antara beliau dengan peserta bersesuaian dengan tema World #QuranHour ‘Dunia Berbudi dan Penyayang’ dan Merdeka #QuranHour ‘Bangsa Berbudi dan Penyayang’ tahun ini.
“Bila kami naik tangga demi tangga agak mudah tapi bila sampai di pertengahan dan penghujungnya ia menjadi sukar dan melelahkan kerana kami bukanlah ahli sukan. Terbayang dalam benak hati bagaimana Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat Baginda dari Makkah pergi ke Madinah untuk mengembangkan syiar Islam.
“Hari ini kita mengambil iktibar untuk mengibarkan bukan sahaja panji #QuranHour tetapi juga bendera Malaysia yang kita agungkan di puncak Menara KL bersama naskhah al-Quran,” katanya dalam sidang media selepas menamatkan pendakian Menara KL di sini hari ini.
Bernama adalah antara organisasi media utama yang turut serta dalam program itu selain Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Utusan Malaysia, Kumpulan Media Prima, Kumpulan Media Karangkraf dan Astro.
Penyerahan al-Quran, panji World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour serta Jalur Gemilang diserahkan kepada Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.
Kempen World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour adalah satu gerakan untuk mengajak masyarakat berinteraksi dengan al-Quran, membaca, memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Program World #QuranHour akan diadakan pada Khamis depan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 11 pagi, manakala Merdeka #QuranHour bersempena sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Dataran Merdeka pukul 8 malam pada hari yang sama. – BERNAMA