KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Sharif bersetuju untuk menambah bilangan hakim dan kekerapan persidangan mahkamah melibatkan kes pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Mustafar Ali berkata, perkara itu dipersetujui sewaktu beliau mengadakan perjumpaan dengan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman Putrajaya pada 22 Ogos lalu.
“Bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang berkaitan PATI dan menambahbaik proses pendakwaan PATI, satu sesi perbincangan antara JIM dan pihak Mahkamah Persekutuan telah diadakan.
“Melalui perbincangan tersebut, Ketua Hakim Negara telah memutuskan agar pertambahan hakim dan kekerapan persidangan mahkamah yang melibatkan isu PATI boleh dilaksanakan untuk membantu JIM menguatkuasakan perundangan kepada PATI dan majikan yang melanggar undang-undang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mustafar berkata, sejak Januari lalu seramai 10,490 PATI dan seramai 215 majikan telah didakwa melalui Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Passport 1966.
Menurut beliau warga Indonesia antara yang tertinggi didakwa di Mahkamah Malaysia berkaitan Akta Imigresen 1959/1963 iaitu seramai 4,864 orang, diikuti warga Bangladesh (1,923) dan Myanmar (1,470)
Beliau dalam pada itu menerangkan, PATI boleh dikenakan hukuman sebatan atas kesalahan yang mereka lakukan berdasarkan Akta Imigresen 1959/63
“Untuk tahun 2017, seramai 694 PATI telah dijatuhkan hukuman sebatan dengan jumlah warga Indonesia yang menjalani hukuman paling ramai iaitu seramai 251 orang diikuti Bangladesh dan Myanmar,” katanya. – MYNEWSHUB.CC