TIDAK pernah mengiakan secara verbal tentang hubungannya dengan seorang gadis cantik yang sering dilihat bersamanya di media sosial, Qi Razali, 40, akhirnya membuka mulut tentang cinta barunya.
Pelakon dan pengacara itu mengaku sedang bahagia bersama wanita berusia 21 tahun bernama Nia Atasha Rosli.
Kata bekas drummer OAG itu, dia mula berkawan rapat dengan Nia sejak enam bulan lalu.
“Saya tertarik untuk mengenali dia kerana sikapnya yang selamba dan berjiwa seni.
“Lagipun kami selalu bekerjasama kerana dia pandai melukis,” katanya, memetik Harian Metro.
Cerita Qi lagi, pada mulanya dia mengenali wanita kelahiran Kuala Lumpur itu di sebuah acara di Ipoh, Perak awal tahun ini.
“Ketika itu saya langsung tidak menegurnya meskipun dia menjadi sukarelawan dalam acara yang saya anjurkan.
“Selepas pulang ke Kuala Lumpur, saya mengikuti perkembangannya di Instagram dan Instagram peribadinya dan mula berkenalan.
“Bukan mudah untuk mengajaknya keluar makan. Selepas beberapa kali mencuba, barulah dia sudi keluar makan bersama saya di sebuah restoran popular di Ampang,” katanya.
Umum mengetahui kisah cintanya dengan pelakon Nelydia Senrose yang tidak kesampaian, jadi untuk hubungan cinta barunya ini Qi mengambil pendekatan tidak terlalu terbuka.
“Kalau ada yang bertanya, saya akan cakap. Namun untuk bercerita sendiri kepada umum, rasanya tidak.
“Kali ini saya lebih selesa bersikap ‘low profile’,” katanya. – MYNEWSHUB.CC