SANDAKAN – Perpaduan rakyat harus dikekalkan yang menjadi faktor penting kepada usaha membangunkan negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Menurut beliau suasana hidup harmoni rakyat negeri ini wujud daripada semangat kekitaaan dan hormat-menghormati satu sama lain.
“Ini penting bagi membolehkan kerajaan menumpukan kepada pelaksanaan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat tidak kira di mana mereka berada.
“Sama-sama kita mengekalkan dan memperkukuhkan perpaduan yang sudah lama dijalin untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri ini,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Sungai Obar di sini hari ini.
Pada majlis itu, Musa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada enam penerima.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha mendekati rakyat terus menjadi keutamaan kepada kerajaan menerusi program turun padang membabitkan pemimpin kerajaan di peringkat negeri dan pusat.
Katanya ia penting bagi membolehkan masalah dan permintaan rakyat didengar untuk diselesaikan dengan pendekatan yang terbaik.
“Sebagai ketua menteri, selain mentadbir kerajaan negeri,ada peluang dan ruang akan saya gunakan untuk berjumpa dengan rakyat khususnya menerusi program yang dianjurkan di peringkat akar umbi,” kata Musa. – BERNAMA