KUALA LUMPUR – Cacat penglihatan tidak menghalang Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 19, untuk bersama-sama menjayakan program World #QuranHour bagi memahami dan menjiwai al-Quran.
Pelajar Diploma Tahfiz al-Quran dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan itu yang merupakan seorang daripada 21 pembaca Yasin, mengakui sangat teruja apabila dipilih untuk menyertai program itu.
“Tidak semestinya orang yang sempurna sahaja boleh mendekati al-Quran, orang kurang upaya (OKU) juga perlu mendekati al-Quran,” katanya kepada Bernama di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.
Muhammad Qayyim Nizar, yang merupakan pemenang tempat ketiga Tilawah al-Quran 2017 peringkat kebangsaan, mengajak lebih ramai OKU dan remaja supaya turut serta dalam program seumpamanya kerana ia dapat memberi input pada diri kita semua tentang kebesaran mukjizat al-Quran.
Beliau yang ditemani bapaanya, Sarimi Yusoff, 52, berkata berasa sangat seronok menyertai program itu dan berharap dapat menyertainya lagi pada masa akan datang.
Sementara itu, vokalis kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 48, yang juga seorang daripada pembaca Yasin di program itu, mengakui teruja apabila terpilih untuk membaca ayat suci al-Quran di hadapan lebih 3,000 peserta.
“Alhamdulilah, saya bersyukur apabila golongan artis diterima untuk turut serta dalam program sebegini, ia memberi impak positif kepada kami dan secara tidak langsung memberi imej yang baik kepada masyarakat.
“Program sebegini harus diangkat sama tinggi dengan program lain yang selalu disambut di negara kita supaya ia akan peroleh lebih perhatian,” katanya.
Pendakwah bebas, Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan, 32, menyeru masyarakat meluangkan lebih masa untuk membaca al-Quran supaya dapat mengamalkan ajaran dan menghidupkan budaya al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Program sebegini perlu diperbanyakkan supaya masyarakat hari ini lebih memahami al-Quran dan menjadikannya sebagai buku panduan kerana dengan al-Quran mampu melahirkan ummah lebih bermotivasi.
“Untuk mendekati al-Quran, kita tidak perlu melihat pada latar belakang atau fizikal seseorang, sesiapa sahaja boleh mendekatinya,” katanya. – BERNAMA