KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Besar Selangor yang ditadbir Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan Datuk Seri Mohamed Azmin terlibat dalam skandal puluhan juta ringgit melibatkan Universiti Selangor (Unisel) dengan syarikat konsesi Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB).
Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong menyelar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyerbu masuk Unisel dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).
Beliau malah menuduh tindakan SPRM itu kononnya satu tindakan terancang bertujuan menjejaskan imej Kerajaan Selangor yang didakwanya tuntas kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.
“Meskipun kerajaan Selangor mengalu-alukan siasatan SPRM berhubung laporan yang dibuat oleh mana-mana pihak, SPRM dituntut supaya menyiasat secara profesional dan tidak dipengaruhi oleh tekanan politik.
“Tekanan politik terhadap SPRM hanya menyebabkan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap institusi pencegahan rasuah ini terhakis dan tercalar,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Untuk rekod, kerajaan Selangor merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang langsung tidak menandatangani inisiatif Ikrar Bebas Rasuah dilaksanakan SPRM dalam menangani gejala rasuah.
Media hari ini melaporkan SPRM memasuki kampus Unisel di Shah Alam dan pejabat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) di Selangor hari ini.
Ia dipercayai membabitkan siasatan terhadap penyelesaian pertikaian kontrak antara UNISEL dengan syarikat konsesi, Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) melibatkan puluhan juta ringgit.
Shao Loong seterusnya mendakwa tindakan penyelesaian oleh kerajaan Selangor itu berdasarkan keputusan mahkamah iaitu pihak terlibat bersetuju untuk penyelesaian luar mahkamah. – MYNEWSHUB.CC

