KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bakal ditubuhkan berhubung tragedi Mamali menyiasat sama ada Tragedi Memali adalah disebabkan ketaksuban terhadap ‘Amanat Haji Hadi’.
Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd. Ithnin berkata, siasatan berhubung perkara itu perlu dibuat kerana RCI yang telus dan menyeluruh perlu merangkumi punca dan elemen asas yang mendorong ke arah tragedi berdarah tersebut.
Kata beliau, keseluruhan aspek itu juga penting untuk disiasat memandangkan kerajaan pada 1986 iaitu sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri telah pun membentangkan Kertas Putih Peristiwa Memali di Parlimen yang menyatakan Amanat Haji Hadi punca Tragedi Memali.
“Menurut perenggan 15, 16 dan 17 Kertas Putih tersebut, Tragedi Memali dipercayai berakar daripada ketaksuban terhadap ‘Amanat Haji Hadi’,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Shazni Munir turut meminta RCI menyiasat punca yang mendorong ke arah tangkapan Allahyarham Ibrahim Libya, punca yang menyemarakkan kegiatan takfiri ketika itu, keganasan tindakan polis dan langkah kerajaan membendung fenomena takfiri tersebut. – MYNEWSHUB.CC