KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 10 kru USS John S McCain, yang hilang selepas kapal pemusnah Amerika Syarikat itu berlanggar dengan sebuah kapal dagang awal Isnin lepas, diteruskan dengan kawasan pencarian diperluas ke arah Utara.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata berdasarkan pergerakan air laut, pihaknya menjangkakan pergerakan berlaku ke arah pantai di bahagian Utara iaitu menghala ke arah Pulau Tioman.
Menurut Zulkifli, unit SAR yang diketuai oleh Maritime Rescue Sub Centre, APMM di Johor Bahru telah menyelaraskan pergerakan aset-aset SAR menghala ke kawasan pencarian di bahagian Utara perairan Malaysia.
“Aset-aset yang beroperasi di kawasan Utara dan juga yang berada berhampiran dengannya, juga telah diarah untuk membuat pemantauan,” katanya.
Beliau berkata APMM telah meminta bantuan daripada negara jiran iaitu Indonesia menerusi Badan SAR Nasional Indonesia (BASARNAS) untuk membantu pencarian di perairan negara itu.
Katanya, pihak Indonesia telah menggerakkan empat buah aset lautnya iaitu KRI Krit, KRI Pulau Rusa, KN Purworeja dan RB 209.
“Pesawat P3 C-Orion dari Australia telah memulakan pencarian dari ruang udara di atas perairan Malaysia manakala pesawat Tentera Laut AS juga telah diberi kebenaran oleh Kementerian Pertahanan untuk melakukan pencarian,” kata Zulkifli.
Dalam kejadian 5.40 pagi di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor itu, kapal pemusnah USS John S McCain berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC yang didaftarkan di Liberia, menyebabkan lima kru USS John S McCain cedera dan 10 lagi jatuh ke laut dan hilang. – BERNAMA