MELAKA – Skuad Harimau Malaya tewas tipis 1-2 kepada Syria dalam aksi persahabatan antarabangsa kategori A yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Krubong malam ini.
Pasukan Syria bermula garang apabila melakukan beberapa asakan terhadap kubu pertahanan negara namun cubaan berbahaya yang dilakukan oleh kapten pasukannya, Firas Al-Khatib pada minit ke-16 tersasar melepasi gawang gol.
Skuad Harimau Malaya gagal menggunakan peluang keemasan apabila sepakan lemah yang dilakukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-32 berjaya diselamatkan penjaga gawang Syria, Ibrahim Alma.
Usaha skuad negara mencari gol pembukaan sekali lagi dinafikan Syria apabila sepakan deras yang dilakukan Badrol Bakhtiar di dalam kotak penalti pada minit ke-38 berjaya didakap kemas Ibrahim Alma.
Bersambung pada babak kedua perlawanan, Syria yang tidak ingin berputus asa terus mengatur serangan ke kubu skuad negara, namun sepak deras yang dilakukan oleh Mahmoud Al-Mawas berjaya ditepis penjaga gawang negara, Khairul Azhan Mohd Khalid pada minit ke-51.
Skuad bimbingan jurulatih Nelo Vingada bangkit mengasak pertahanan pasukan Syria apabila Ahmad Syamim Yahya melakukan cubaan pada minit ke-70 namun sepakan deras beliau tersasar keluar ke sebelah kiri gawang gol.
Pemain tengah Syria, Almarmour Mohammad berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-81 menerusi rembatan kencang di luar kotak penalti sebelum Mohamad Rafat Muhtadi menambah duka pasukan tuan rumah selang tiga minit kemudian (minit ke-84).
Darren Yee Deng Lok menghadiahkan gol saguhati kepada skuad negara menerusi sepakan penalti dalam masa tambahan. – BERNAMA