UMUM mengetahui Aliff Aziz dan Mira Filzah pernah digabungkan dalam drama bersiri Meh Sandar Pada Aku! yang bersiaran pada Februari lalu. Kini dengar-dengarnya drama ini akan ada sekuelnya menerusi Meh Sandar Pada Aku! 2.
Ya, mereka akan digandingkan sekali lagi dalam drama terbitan Zeel Production itu.
Walaupun nama Aliff Aziz terpalit dengan kontroversi ‘panas’ baru-baru ini, Mira Filzah tidak serik untuk bergandingan bersama pelakon kelahiran Singapura itu lagi.

“Saya tiada masalah jika kami akan terus digandingkan. Ketika pengambaran musim pertama drama itu, kami begitu seronok di lokasi penggambaran. Saya juga selesa dengan isteri Aliff, yang turut menemaninya di lokasi,” ujarnya.
Jika dilihat Instagram Mira dulu pun, dia tiada masalah untuk keluar dan meluangkan masa bersama Aliff dan isterinya, Bella Astillah selepas habis shooting mahupun di set penggambaran.
“Mungkin kerana tempoh penggambaran agak panjang iaitu lebih empat bulan, jadi hubungan kami agak rapat. Disebabkan itu saya tidak kisah digandingkan lagi kerana tidak mempunyai masalah dengan Aliff,” memetik laporan Berita Harian Plus.
Jika Mira tidak serik digandingkan lagi bersama Aliff, ini bermakna Aliff tidak mempunyai masalah disiplin seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Mira turut mengakui Aliff menjalankan tanggungjawabnya di set dan memberi tunjuk ajar kepadanya semasa pengambaran musim pertama itu berlangsung.
Jadi, kepada peminat-peminat mereka berdua ini, jangan lupa untuk saksikan Meh Sandar Pada Aku! 2 yang akan disiarkan di kaca tv tidak lama lagi. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

