• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Thursday, May 28, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Mencari Generasi Muda Pewaris Peniup Serunai

oleh AK-47
06/08/2017
dalam Gaya Hidup, Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

KUALA KANGSAR – Sebaik sahaja tiba di Inap Desa Kampung Labu Kubong (kira-kira 10 km dari pekan Kuala Kangsar), rombongan peserta ASEAN Media Bloggers Tourism Hunt (AMBTH) 2017 tidak menduga diberi sambutan begitu meriah.

Bukan sahaja diberi minuman air akar kayu dan dihidangkan pelbagai juadah tradisional seperti lemang dan kuih limas, peserta juga diraikan dengan persembahan pencak silat.

Seramai 47 peserta terdiri daripada pengamal media dan ‘social media influencer’ (SMI) dari negara ASEAN termasuk Malaysia menyertai program anjuran Tourism Malaysia ini yang berlangsung dari 10 hingga 15 Julai lepas.

Ketika tekun memerhatikan persembahan pencak silat, perhatian penulis beralih kepada kumpulan gendang silat yang memainkan lagu untuk mengiringi persembahan silat berkenaan.

Ada sesuatu yang pelik pada pandangan mata penulis tentang kumpulan gendang silat yang terdiri daripada empat anggota itu.

Setelah beberapa saat, persoalan yang bermain di kepala penulis terjawab. Perkara ‘pelik’itu ialah pemain gendang dan pemain gong kumpulan ini adalah perempuan!  Pada mata penulis, ini adalah sesuatu yang jarang berlaku.

Perhatian penulis juga tertumpu kepada peniup serunai kumpulan gendang itu, seorang lelaki warga emas. Begitu merdu alunan tiupan serunai itu.

Perasaan penulis seperti dibuai-buai bersama hembusan bayu sambil mata beralih kepada panorama hamparan sawah padi dan deretan gunung-ganang yang begitu mempersonakan.

GABUNGAN TUA DAN MUDA

Penulis yang begitu tertarik dengan kumpulan gendang silat berasa bertuah dapat berbual dengan Mohd. Amir Abd. Rahim, 74, pengasas yang juga ketua Kumpulan Gendang Silat Al-Marbawi, satu-satunya kumpulan gendang silat di Kampung Labu Kubong.

Ditubuhkan pada 2013, tiga cucu saudara Moh.d Amir menyertai kumpulan gendang ini. Mereka yang masih bersekolah menjadikan aktiviti bermain gendang silat sebagai cara santai mengisi masa lapang.

Menurut Mohd. Amir, gabungan orang tua dan muda penting kerana yang lebih tua boleh mengajar dan yang muda boleh mempopularkan aktiviti tradisi.

Kumpulan ini juga selalu diundang untuk menjayakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri-kendara, latihan silat dan majlis berkhatan.

Sesuai dengan usaha menjadikan kampung ini sebagai tarikan pelancongan melalui program inap desa, mereka turut diundang untuk acara meraikan tetamu tempatan dan dari luar negara.

Latihan dibuat sekurang-kurangnya sekali seminggu dan bila ada jemputan, latihan lebih kerap dibuat untuk memastikan kualiti persembahan terbaik.

MENCARI PENIUP SERULING

Usia yang semakin meningkat membuatkan Mohd. Amin giat mencari penggantinya. Bagaimanapun, usaha ini bukan mudah.

Sasaran beliau adalah anak muda di kampungnya tetapi setakat ini belum berhasil.

“Tiada yang sesuai,” jawab Mohd. Amir ringkas sambil merenung jauh apabila penulis mengajukan soalan mengenai usaha mencari peniup serunai.

Cabaran paling besar ialah meskipun seseorang itu mempunyai minat menjadi pemain serunai, belum tentu dia boleh menguasai teknik meniup serunai tanpa latihan yang konsisten dan teknik yang betul.

“Seni meniup serunai ini ada cabarannya yang tersendiri. Budak-budak sekolah yang boleh bermain ‘recorder’, semuanya boleh tiup serunai tetapi tiada yang boleh meniup secara berterusan, tanpa putus.

“Di Kuala Kangsar ini hanya ada tiga orang yang betul-betul boleh meniup serunai,” jelas beliau.

Mohd. Amir memberitahu penulis, seni meniup serunai yang panjang amat penting untuk mengiringi paluan gendang.

Bunyi serunai yang nyaring juga amat mudah dikesan ‘hilang’ jika ia terhenti pada saat gendang masih dipalu dan lagu belum habis dimainkan.

RAHSIA PENIUP SERUNAI

Peniup serunai yang disegani ini tidak lokek untuk memberi panduan kepada mereka yang mahu belajar meniup alat bunyi-bunyian itu.

“Kalau mahu nafas panjang, ada rahsianya. Perlu ada latihan. Cara latihannya adalah meniup air guna straw sampai keluar buih. Tiuplah seberapa lama yang boleh bagi setiap nafas. Lebih lama, lebih bagus.

“Cara menjaga nafas adalah dengan menyedut udara menggunakan hidung, kemudian disimpan di perut. Gunakan kembungan pipi jadikan ia ibarat getah untuk mengawal aliran angin keluar yang ditiup sedikit demi sedikit,” cerita Mohd. Amir.

Latihan ini perlu dibuat setiap hari selepas bangun solat subuh atau selepas bangun tidur, Masa yang diperlukan sekitar setengah hingga satu jam setiap hari. Semakin kerap dibuat, semakin cepat kemampuan mengawal tiupan dapat dikuasai peniup.

Menjawab tentang pantang larang yang harus dipatuhi peniup serunai, Mohd. Amir memberitahu tiada sebarang pantang larang dari sudut permakanan ataupun amalan yang perlu dihindari.

“Cukup dengan latihan yang kerap dan benar-benar serius melakukan latihan,” tegasnya untuk seseorang itu mengasah bakat untuk menjadi seorang peniup serunai.

LIMA PULUH GAYA

Mula melibatkan diri dalam kumpulan gendang silat pada tahun 1986, Mohd. Amir belajar dengan kumpulan gendang di Kampung Talang dekat Kuala Kangsar iaitu kira-kira 30 minit perjalanan dari Kampung Labu Kubong.

Ada masanya beliau pergi ke negeri lain untuk mempelajari cara pukulan gendang. Menurut beliau, setiap negeri mempunyai gaya pukulan yang unik mengikut cara masing-masing.

“Negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan kumpulan dari Thailand, berbeza cara pukulnya. Kumpulan biasa berkumpul waktu ada pertandingan silat atau ‘muay thai’ jadi kita pergi supaya dapat belajar benda baru,” kata Mohd Amir.

Mohd. Amir pernah menguasai lebih 50 gaya pukulan gendang silat tetapi ada yang beliau sudah lupa kerana jarang memainkannya.

Lagu-lagu gendang yang masih segar dalam ingatannya adalah seperti Cak Kedah, Semangin, Cik Lidi, Kerbau Berhambat, Debak Dua dan Senayong. Lagu-lagu ini biasa dimainkan pada majlis-majlis tertentu.

TIADA ISU JANTINA

Sebelum berpisah, sempat penulis bertanyakan tentang pemilihan tiga anggota perempuan kumpulan Al-Marbawi kerana ia sesuatu yang jarang dapat dilihat.

Bagi Mohd Amir, isu jantina bukan faktor utama dalam pengambilan ahli sesebuah kumpulan gendang silat.

“Asalkan ada minat, sudah cukup untuk diterima,” katanya.

Beliau menambah, isu had umur juga bukan satu halangan. Pemain yang berusia muda hanya perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa supaya tidak ada masalah pada kemudian hari.

Pemain gendang, Shazihaziqah Mohd Desa, 15,  berkata minatnya mula timbul apabila melihat datuknya bermain gendang. Beliau juga cuba belajar meniup serunai tetapi berpendapat ia amat sukar.

Sementara itu, pasangan adik-beradik Robiatul Athirah Mohd. Rodzi, 15, dan Robiatul Sopia Mohd. Rodzi, 12 , pula mendapat sokongan padu daripada ibu mereka.

“Kawan-kawan di sekolah tahu saya main gendang silat. Mereka minat nak belajar main juga tetapi belum ada kesempatan. Saya sendiri sudi mengajar mereka kalau perlu,” kata Robiatul Athirah.

Anggota paling muda, Robiatul Sopia pula yang bermain gong berasa bangga dapat menyertai kumpulan gendang itu kerana dapat juga menyebarkan pengetahuan tentang gendang silat kepada orang ramai dari dalam dan luar negara. – BERNAMA

Tags: Peniup Serunai
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

No Content Available
MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd