KUALA LUMPUR – Hasrat Malaysia untuk mengutip emas pertama dalam acara boling padang yang berlangsung di Pusat Boling Padang Kebangsaan, Bukit Kiara, di sini hari ini tidak kesampaian apabila hanya sekadar meraih pingat perak.
Skuad boling padang fours lelaki ditewaskan Filipina dengan mata 16-14.
Pasukan fours lelaki negara dibarisi Daeng Dhadyry Dahasry, Izzat Shameer Dzulkeple, Safuan Said dan Zulhilmie Redzuan manakala Filipina dibarisi Curte Robert Guarin, Emmanuel Portacio, Leoncio Carreon Jr dan Ronald Lising.
Saingan antara pemain kedua-dua negara agak sengit ketika Filipina bangkit mengejar kedudukan mata dengan Malaysia pada ends ke-14 sebelum mendahului tiga mata di hadapan dengan 13-10.
Malaysia dilihat cuba untuk mendahului Filipina pada ends ke-16, dengan menambah lagi satu mata namun berjaya dipintas Filipina yang turut sama menambah satu mata menjadikan kedudukan 14-11.
Aksi sengit semakin memanaskan padang pada ends ke-17 apabila Filipina jauh meninggalkan Malaysia dengan mata 16-11, namun skuad negara terpaksa akur dengan mata terakhir iaitu 16-14 pada ends ke-18.
Mengulas perlawanan hari ini, kapten pasukan Malaysia, Safuan menyifatkan tewas kepada Filipina tidak bermakna skuad negara tidak melakukan yang terbaik namun kesilapan berlaku pada ends ke-13 apabila pasukan lawan mendahului dua mata.
“Prestasi saya dan rakan sepasukan baik sahaja sejak awal permainan lagi walaupun ada naik turun mata. Kami cuba yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Fours lelaki negara kini berada pada ranking pertama diikuti Filipina, Thailand dan Brunei.
Kalungan pingat disampaikan Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. – BERNAMA