PETALING JAYA – Malaysia sekadar menambah satu pingat gangsa pada hari kelima acara menembak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Lapang Sasar Menembak Nasional, Subang, dekat sini, hari ini.
Pingat gangsa berkenaan disumbangkan oleh Muhamad Zubair Mohammad dalam acara 50m rifle tiga posisi dengan catatan 432.1 mata.
Napis Tortungpanich dari Thailand mengungguli acara berkenaan selepas melakar rekod baharu Sukan SEA, dengan 444.7 mata manakala penembak Vietnam, Nguyen Duy Hoang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat 441.9 mata.
Rekod terdahulu adalah 1,157 mata yang dicipta penembak Thailand, Tavarit Majchacheep pada edisi 2001 di Kuala Lumpur sebelum Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) memperkenalkan peraturan baharu pertandingan iaitu ‘decimal scoring’ bagi menentukan pemenang pingat emas dan juga pemegang rekod baharu dalam sesebuah kejohanan antarabangsa.
Seorang lagi wakil negara, Mohd Lutfi Othman menduduki tangga keenam daripada lapan peserta dengan catatan 401.1 mata.
Dalam pada itu, dua wakil negara mempamerkan aksi hambar selepas gagal meraih kedudukan podium dalam acara 10m air rifle wanita.
Penembak muda, Nur Izazi Rosli, 17 sekadar menduduki tempat keempat dari lapan peserta selepas mengutip 201.1 mata manakala rakan senegara, Shahera Rahim Raja berada di tangga kelima selepas meraih 179.9 mata.
Penembak Singapura, Martina Lindsay P Veloso membidik emas dengan rekod baharu Sukan SEA, 247.7 mata, sekali gus memadam rekod terdahulu, 207 mata yang dicatat rakan senegaranya, Tessa Neo pada Sukan SEA 2015 di Singapura.
Seorang lagi penembak republik berkenaan, Jasmine Ser Xiang Wei mengekalkan pingat perak yang dimenangi pada 2015 selepas mengutip 247.3 mata manakala peserta Thailand,Nawinda Kasemkiatthai menggondol pingat gangsa dengan catatan 221.7 mata.
Kegagalan menambah kutipan pingat itu menyaksikan Thailand merampas kedudukan teratas carta kutipan pingat daripada Malaysia dengan empat emas, satu perak dan lima gangsa manakala Malaysia turun di tangga kedua dengan tiga emas, empat perak dan dua gangsa.
Singapura pula memintas kedudukan Indonesia di tangga ketiga keseluruhan dengan kutipan satu emas, empat perak dan satu gangsa.
Tiga emas menjadi rebutan pada hari terakhir acara menembak KL2017, esok iaitu 10m air pistol lelaki, trap lelaki dan 50m rifle tiga posisi wanita. – BERNAMA